“Jangan Cetus Api Dalam Rumah Sendiri” – Kamil Ingatkan Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR: Semua pihak dalam Kerajaan Madani, termasuk Pemuda UMNO yang mempunyai perbezaan pandangan, digesa memainkan peranan menjaga sensitiviti serta mengelakkan polemik tidak perlu yang boleh menjejaskan keharmonian pentadbiran negara.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, Konvensyen Khas Pemuda UMNO yang bermula hari ini seharusnya dimanfaatkan sebagai wadah matang dan berhemah untuk generasi muda menyumbangkan idea serta pandangan membina demi masa depan Malaysia.

Menurut beliau, dalam sebuah negara berbilang kaum dan latar belakang seperti Malaysia, kestabilan dan keharmonian perlu dipelihara melalui kebijaksanaan, kesederhanaan serta rasa tanggungjawab bersama.

“Setiap pihak ada peranan penting untuk menjaga sensitiviti, mengelakkan polemik yang tidak perlu dan memastikan setiap pandangan yang disuarakan bersifat membina serta berpaksikan kepentingan rakyat secara keseluruhan.

“Hakikatnya, kita adalah satu keluarga besar. Perbezaan pandangan adalah lumrah, namun ia perlu diurus dengan semangat saling menghormati, memahami dan menyantuni antara satu sama lain,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook hari ini.

Beliau menegaskan, meskipun berlainan latar belakang dan bangsa, semua pihak berkongsi matlamat yang sama iaitu memelihara keharmonian serta membina masa depan Malaysia yang lebih gemilang.

Terdahulu, media melaporkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh memaklumkan sayap parti itu akan menganjurkan konvensyen khas sebagai platform membincang dan meneliti hala tuju parti, termasuk kedudukan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan.

Konvensyen berkenaan bermula hari ini di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Mengulas lanjut, Muhammad Kamil menyeru semua pihak mengamalkan pendekatan berhemah, memperkukuh kerjasama serta memelihara keyakinan rakyat terhadap pentadbiran negara, selari dengan aspirasi Kerajaan Madani yang menekankan nilai ihsan, kepercayaan dan kemajuan bersama.

“Dengan komitmen bersama, insya-Allah kestabilan politik dan kemajuan negara dapat terus dikekalkan. Semoga segala perbincangan yang berlangsung membawa manfaat dan kebaikan buat Malaysia,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles