KUALA LUMPUR: Tempoh pentadbiran singkat 22 bulan ketika Pakatan Harapan (PH) menerajui kerajaan pusat suatu ketika dahulu perlu dijadikan iktibar supaya ‘derita’ tidak berulang lagi.
Hal itu diperingatkan Ketua Puteri Barisan Nasional (BN), Datuk Zahida Zarik Khan supaya pengundi tidak ‘cari penyakit’ dengan mengundi PH termasuk serpihannya, Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ujarnya, PH tidak mempunyai hala tuju selepas memenangi PRU-14 dan gagal menguruskan aset-aset negara yang memberi manfaat kepada rakyat.
Malah seperti yang dilaporkan media sebelum ini, Khazanah Nasional Berhad telah menjual kepentingan dalam tujuh firma asing termasuk Alibaba Group Holding Ltd bernilai kira-kira RM5.66 bilion (AS$ 1.36 bilion) dalam tempoh 16 bulan pertama PH menjadi kerajaan.
“Hanya dalam tempoh setahun 4 bulan PH di Putrajaya, mereka sudah berjaya menjual aset bernilai berbilion ringgit.
“Bab ni saya akui, PH ‘berjaya’, berjaya menambah pendapatan kerajaan dengan siri penjualan aset,” katanya secara sinis dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.
Zahida yang Ketua Pergerakan Puteri UMNO menambah, PH hanya tahu menjual segala harta rakyat yang dikumpul oleh pentadbiran BN dahulu.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakyat bahawa PRU-15 bukan masa untuk bereksperimen dan semua parti telah diberi peluang menjadi kerajaan.
“Akhirnya BN terbukti jauh lebih baik daripada mereka,” jelasnya.