Jangan Bagi Orang Menceroboh Tanah Negeri Pahang – Al Sultan Abdullah

KUANTAN — Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah menzahirkan titah agar seluruh rakyat khususnya di negeri Pahang menjaga dan melindungi alam sekitar serta tanah negeri daripada sebarang bentuk pencerobohan.

“Jagalah langit kita, jagalah bumi Pahang kita dengan sebaik mungkin. Jadilah mata dan telinga kepada beta demi mempertahankan tanah Pahang ini,” titah Baginda

Baginda turut menzahirkan rasa kecewa terhadap tindakan pihak tertentu yang menceroboh tanah-tanah di negeri ini tanpa kebenaran. Baginda mendedahkan bahawa beberapa siri pertemuan dan perbincangan telah diadakan bersama pihak yang terlibat, namun pencerobohan masih berlaku.

“Jangan bagi orang menceroboh tanah negeri Pahang ini, saya pun naik darah juga banyak orang ceroboh tanah, sudah sampai masanya kita berkeras dengan mereka (penceroboh).

“Jagalah negeri dan bumi Pahang ini sebaik mungkin titah baginda di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kampung Bantal, Ulu Tembeling, Jerantut semalam yang dimuat naik di laman Facebook Kesultanan Pahang.

Sebelum ini, operasi penguatkuasaan di kebun durian di Raub telah menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat apabila pekebun didakwa menunjukkan ketidakpuasan hati kerana tanaman mereka dimusnahkan.

Kerajaan Pahang juga menafikan telah melanggar perintah mahkamah dengan menebang kira-kira 200 pokok durian Musang King dalam operasi penguatkuasaan di Sungai Klau, Raub pada 8 April lalu.

Operasi penguatkuasaan berkenaan disertai antaranya polis dan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang, (UPNP) dijalankan meliputi semua kawasan penanaman yang telah diteroka tanpa kebenaran di Raub serta dijangka dilaksanakan hingga 3 Mei ini.

BBerkaitan

Latest articles