KUALA LUMPUR: Setiap pihak di dalam Barisan Nasional (BN) diingatkan tidak bersubahat dengan pihak luar, terutama musuh gabungan itu yang mahu melambatkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan bahawa tindakan serius akan demikian.
“Semua akar umbi, biro politik dan Majlis Kerja Tertinggi UMNO berharap tidak ada wakil rakyat UMNO bersubahat dengan agenda musuh UMNO dan BN ini.
“Jika mereka yang terlibat telah dikenal pasti, UMNO dan BN tidak teragak-agak untuk membuat tindakan dan masanya akan tiba nanti,” kata Ahmad Zahid dalam satu hantaran di Facebooknya.
Dalam masa yang sama Presiden UMNO itu juga mahu kesemua wakil rakyat BN perlu mematuhi disiplin parti.
Ahmad Zahid menegaskan, UMNO dan BN sama sekali tidak akan berkompromi terhadap mereka yang mengkhianati parti.
“Dalam suasana menjelang pilihan raya ini jangan ada pula cuba berkhianat dan menikam UMNO dari belakang. UMNO dan BN tidak akan berkompromi sekiranya terdapat pengkhianat parti. Biarlah katak politik parti lain dan parti mereka sahaja masih hanyut dengan jawatan mereka sebelum mereka tewas pilihan raya kali ini.
“Kita terus rapatkan barisan, bergerak ke depan, semarakkan obor perjuangan dan pastikan BN menang untuk kestabilan politik,” katanya.
Ahmad Zahid turut mengulas tindakan 12 barisan menteri Perikatan Nasional (PN) yang mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan pendirian supaya PRU-15 tidak diadakan tahun ini.
Menurut beliau, kumpulan itu tidak berputus asa untuk mengekalkan jawatan dalam Kabinet.
“Betapa sayang mereka akan kedudukan dan jawatan yang ada sekarang hingga takut hilang kuasa mereka. Sudah pasti sebahagian besarnya terdiri mereka bukanlah pemimpin yang berwibawa.
“Tindak tanduk mereka sebelum ini mengecewakan pengundi mereka sendiri,” katanya.
Ahmad Zahid mendakwa, menteri daripada PN adalah anggota Kabinet yang paling risau sekiranya PRU diadakan kerana mereka terdiri daripada kumpulan yang melompat parti dan paling tidak disukai oleh rakyat.