Jangan Ada Yang ‘Cah Keting’ Apabila Tak Dicalonkan PRU15

KUALA TERENGGANU: Setiap pihak di dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN) diingatkan tidak mengamalkan ‘cah keting’ (sabotaj), sekiranya ada dalam kalangan mereka tidak tercalon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Perkara itu ditegaskan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sambil menambah bahawa mereka yang tidak tercalon, harus menerima keputusan parti dengan hati terbuka dan bukannya terlibat dengan amalan ‘cah keting’.

Ini kerana jika keadaan itu berlaku, ia boleh membuatkan BN kecundang walaupun di kubu sendiri.

“Yang kita bimbang ini ‘cah keting’, kita (BN) bukan tak kuat, tetapi adanya kes-kes cah keting kita kecuncang di tempat sendiri. Kalau selama ini boleh berucap berapi-api korban jiwa raga, buktikan 5hb (Nov)(hari penamaan calon) nanti, kalau tak tercalon tetap sokong parti kita yang bertanding,” katanya ketika berucap pada program Himpunan Solidariti dan Kestabilan dan pelancaran Jentera PRU15 BN Terengganu, hari ini.

Ismail Sabri berkata, dua perkara yang perlu dipegang untuk memastikan BN memenangi semula negeri Terengganu, iaitu mengelak perpecahan dan jentera perlu bekerja kuat.

Beliau juga berharap BN akan merampas semula kerusi Hulu Terengganu, kerana kerusi tersebut pada asalnya merupakan hak BN tetapi ‘dirompak’ oleh penyandang Parlimen tersebut yang melompat parti.

Kerusi Hulu Terengganu sebelum ini disandang oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid atas tiket UMNO, namun beliau meyertai Bersatu selepas PRU14.

BBerkaitan

Latest articles