JaminKerja: 42,000 Sudah Dapat Peluang Kerja, 1,200 Pekerjaan Baru Berjaya Dicipta

 

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia (JaminKerja) kini berada di landasan yang tepat.

Ini kerana sehingga Januari 2022, seramai 42,166 orang telah mendapat kerja dan sejumlah 1,200 pekerjaan baharu diwujudkan, sekali gus mencerminkan keadaan ekonomi Malaysia yang semakin pulih dengan pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi dan sosial.

Untuk rekod, inisiatif JaminKerja menyasarkan penciptaan 600,000 pekerjaan sepanjang tahun ini.

Inisiatif ini mempunyai tiga komponen utama iaitu insentif Penggajian Jamin Kerja, Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran serta Malaysia Short Term Employment Programme (MySTEP).

Katanya, majlis bersetuju dengan penetapan sasaran sejumlah 300,000 penempatan pekerjaan di bawah Insentif Penggajian Jamin Kerja, 220,000 di bawah Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran, dan 80,000 di bawah MySTEP.

Sebagaimana aturan sebelum ini, pencapaian sasaran ini akan disokong oleh lima Pasukan Petugas Khas (STF) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian masing-masing.

Ismail Sabri juga memaklumkan bahawa Kementerian Sumber Manusia diarahkan merangka strategi yang khusus bertujuan meningkatkan lagi peluang pekerjaan bagi golongan belia.

Sehingga tempoh ini, kadar pengangguran dalam golongan berkenaan berada pada tahap 80.3 peratus.

”Kerajaan turut mengulangi pendirian mengenai usaha pendedahan awal pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) kepada pelajar Tingkatan 1, untuk membantu pelajar membuat pilihan berdasarkan kecenderungan minat mereka.

”Bagi tujuan ini, kempen promosi dan penjenamaan semula TVET akan dilakukan secara komprehensif bagi menghapuskan persepsi yang mengatakan TVET adalah pendidikan kelas kedua. Sebaliknya, TVET akan diperkasakan agar ia menjadi kerjaya pilihan seperti negara maju,” katanya.

Pewujudan Pusat Penempatan Pekerjaan sehenti juga akan ditambah baik dan diperkasakan bagi memantau kejayaan setiap permohonan pekerjaan.

Ia merupakan pelengkap bagi platform MYFutureJobs yang memudahkan majikan menawarkan pekerjaan dan pada masa yang sama membantu pencari kerja untuk membuat pendaftaran dan mendapatkan tarikh temu duga.

Dalam masa yang sama, strategi NEC ini diyakini dapat meneruskan momentum pemulihan ekonomi negara, meningkatkan penciptaan peluang pekerjaan serta mengurangkan kadar pengangguran.

Selain itu, kerajaan memandang serius isu-isu berkaitan seperti kekurangan pekerja dalam sektor tertentu, kesaksamaan peluang pekerjaan, perlindungan sosial bagi pekerja dan isu kebolehpasaran graduan.

 

BBerkaitan

Latest articles