Kuala Lumpur – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom akan menggunakan proses perbicaraan bagi membersihkan dirinya daripada tiga pertuduhan yang dihadapinya berkaitan pelupusan wang Lembaga Tabung Haji (TH) berjumlah lebih RM860 juta.
Beliau berkata, kes berkenaan melalui perjalanan panjang sejak 2018 dan kini mahu memberikan pembelaannya di mahkamah.
“Saya akan membela diri saya dalam mahkamah nanti bagi perkara-perkara yang telah disebut.
“Saya akan gunakan (proses) ini untuk membersihkan diri saya di peringkat mahkamah kerana ini antara tempat terbaik untuk mendapat keadilan.
“Saya meyakini, insya-Allah, mahkamah akan memberikan yang terbaik dalam pengadilan ini,” katanya ketika ditemui selepas prosiding, di sini
Jamil Khir turut mempertahankan pendekatan yang diambil ketika beliau menjadi menteri berhubung penyediaan penginapan jemaah haji.
Menurutnya, penginapan merupakan antara perkara penting kepada operasi haji dan pendekatan ketika itu adalah mendapatkan hotel bagi tempoh jangka panjang untuk memperoleh kadar lebih baik.
“Penginapan ini, saya mengambil pendekatan pada waktu dahulu untuk kita ‘lock’ hotel-hotel dalam tempoh dan jangka waktu yang panjang supaya kita mendapat harga terbaik untuk mengurangkan kos haji dan sebagainya,” katanya.
Terdahulu, Jamil Khir mengaku tidak bersalah selepas didakwa atas tiga pertuduhan menyebabkan TH melupuskan wang miliknya berjumlah keseluruhan RM860.3 juta kepada syarikat berkaitan Al-Rawda antara 2015 hingga 2017.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.










