Jamal Sanggah Teresa, Belum Diisytiharkan Muflis

KUALA LUMPUR: Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos menegaskan beliau layak beetanding di Parlimen Sungai Besar, sekaligus menolak dakwaan beliau telah diisytiharkan bankrap selaras dengan Akta Insolvensi 1967.

Jamal berkata kelayakan untuk dirinya bertanding hanya akan hilang selepas perintah kebankrapan dibuat dan semua rayuannya gagal.

Sehubungan itu gesaan penyandang Parlimen Seputeh, Teresa Kok, yang memohon Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak pencalonan beliau atas dakwaan prosiding kebankrapan sudah pun difailkan terhadapnya adalah wajar ditolak sama sekali dan bersifat salah.

“Dakwaan Teresa adalah tidak tepat dan mengelirukan. Peguam cara saya, Rejinder Singh, berkata saya masih belum dikenakan sebarang perintah kebankrapan.

“Saya menyanggah dengan tegasnya dakwaan Teresa bahawa prosiding kebankrapan sudah bermula pada 30 Ogos. Pengurusan kes pertama prosiding kebankrapan hanya bermula dan dijalankan pada 30 November, yang mana peguam cara saya akan mencabar tindakan kebankrapan ini.

“Sehubungan itu, kelayakan saya sebagai calon pilihan raya masih lagi sah pada waktu penamaan calon dan pengundian sehinggalah satu perintah kebankrapan dibuat dan semua rayuan dilupuskan,” katanya melalui kenyataan.

Sebelum ini, Teresa melalui pembantunya menghantar surat bantahan kepada Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, berhubung penamaan Jamal sebagai calon BN di kerusi Parlimen Sungai Besar.

Teresa dilaporkan mendakwa, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu belum menyelesaikan syarat penghakiman dalam saman difailkan terhadapnya yang berkemungkinan menyebabkan pengisytiharan muflis.

Pada masa sama, Jamal berkata, beliau ketika ini sedang merayu ke Mahkamah Rayuan Malaysia (No Rayuan :W-02(W)-1573-08/2022) berkenaan ganti rugi yang diperoleh Teresa melalui penghakiman Mahkamah Tinggi bertarikh 26 Julai lalu.

Beliau berkata, pihaknya percaya rayuannya adalah bermerit dan ganti rugi yang dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi itu kelak akan diketepikan setelah rayuannya didengar.

“Bagi pengetahuan semua, peguam cara saya sudah berhubung dengan peguam cara Teresa mengenai serahan secara kendiri mereka kepada saya mengenai notis kebankrapan supaya ia dibuat pada 8 November lalu.

“Oleh itu gesaan Teresa supaya SPR menolak pencalonan saya adalah sama sekali pramatang, sia-sia dan salah.

“Tindakan Teresa adalah perbuatan terdesak beliau sebagai cubaan untuk menggagalkan saya daripada menjadi calon pilihan raya walaupun faktanya amat jelas yang saya belum lagi dikenakan sebarang perintah kebankrapan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peguam mewakili Jamal, Datuk Mohd Imran Tamrin, berkata anak guamnya boleh mengemukakan borang pencalonan esok tanpa sebarang masalah dan layak menjadi calon kerana menurut Perlembagaan Persekutuan, hanya individu yang sudah bankrap tidak dibenarkan bertanding dalam PRU.

Beliau menegaskan, pihaknya belum menerima notis kebankrapan dan menasihati Jamal untuk membuat laporan polis berhubung kenyataan Teresa, yang dianggap sebagai cubaan menjatuhkan kredibiliti beliau sebagai calon.

Terdahulu, Jamal membuat laporan berhubung perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam, kira-kira jam 5 petang tadi.

BBerkaitan

Latest articles