KUALA LUMPUR: Ketua Komunikasi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Jamal Md Yunos kini dirawat di Pusat Perubatan Prince Court selepas beliau rebah secara tiba-tiba ketika menghadiri program parti itu, di Sungai Besar, malam tadi.
Terdahulu Jamal dilaporkan baru sahaja pulih daripada penyakit kanser paru-paru tahap empat yang dihadapinya.
Keadaan terkini Jamal dikongsikan oleh anaknya, Amin Daniel Jamal sebagaimana laporan MalaysiaGazette.
Bagaimanapun Jamal kini dilaporkan dalam keadaan stabil dan sedang dipantau rapi doktor pakar hospital berkenaan.
“Ayah saya tiba-tiba rebah ketika menghadiri sebuah program BN di Sungai Besar dan saya sendiri membawa ayah ke Prince Court untuk mendapatkan rawatan.
“Pihak hospital masih menjalankan ujian darah untuk mengenal pasti punca sebenarnya kesihatan dia merosot,” ujarnya.