AMPANG: Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos, menyuarakan rasa kecewa terhadap tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan di kediamannya sebentar tadi, dan sanggup melelong seliparnya bagi melunaskan kos tuntutan tambahan yang dikaitkan dengan Teresa Kok.
“Saya rasa hasrat beliau tidak akan tercapai dalam sehari dua ini. Saya akan lelong sebelah selipar saya untuk bayar ganti ke atas Teresa Kok,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di sini.
Jamal berkata, walaupun menghormati keputusan mahkamah dalam kes saman sivil yang dimenangi pihak plaintif, beliau telah melunaskan bayaran melebihi RM300,000 termasuk kos perbicaraan sehingga ke Mahkamah Rayuan sebagai tanda mematuhi perintah mahkamah dan undang-undang negara.
Namun, menurut beliau, tindakan lanjut melibatkan tuntutan tambahan kos pengurusan berjumlah RM60,000 dibuat secara mengejut walaupun sebelum ini telah wujud persefahaman antara kedua-dua pihak melalui peguam masing-masing.
Beliau mendakwa tindakan memecahkan pagar dan pintu rumah serta menukar kunci dengan kehadiran ramai anggota polis dan wakil media adalah tidak munasabah, selain menyebabkan ahli keluarganya berasa terkejut dan tertekan.
“Kalau benar mahu tuntut RM60,000 atau RM66,000, perkara ini boleh dibincangkan melalui peguam. Tidak perlu sampai membawa media dan memecahkan rumah,” katanya.
Jamal turut menafikan laporan bahawa barangan di kediamannya telah disita, sebaliknya menjelaskan bahawa pihak berkuasa hanya membuat senarai inventori dan barangan berkenaan masih berada di dalam rumah.
Beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai bersifat provokasi dan bertujuan memalukan dirinya, sambil menegaskan kesediaannya untuk menyelesaikan tuntutan berkenaan mengikut saluran undang-undang.
“Saya tidak akan terperangkap dengan provokasi. Saya masih menjalani rawatan kesihatan, tetapi tetap komited untuk menyelesaikan perkara ini secara berhemah dan mengikut undang-undang,” katanya.
Jamal turut memaklumkan beliau sedang mempertimbangkan untuk membuat laporan polis berhubung kerosakan dan isu keselamatan di kediamannya susulan pertukaran kunci yang dilakukan tanpa kehadirannya.
Sebelum itu media melaporkan Sebanyak 14 aset Jamal Md Yunos disita dari rumah di Ampang Jaya di sini selepas bailif Mahkamah Tinggi di sini diberi kuasa untuk memasuki premis itu secara paksa pada Rabu.
Writ penyitaan dan penjualan harta alih itu diperoleh oleh Ahli Parlimen Seputeh, Datuk Teresa Kok selaku pemiutang penghakiman terhadap Jamal yang dinamakan sebagai penghutang penghakiman.
Ia berhubung tindakan penguatkuasaan penyitaan harta bagi mendapatkan baki tertunggak kos guaman mencecah RM66,061.85 berkaitan kes saman fitnah Jamal, 56, yang mendakwa Teresa, 62, telah menyalahgunakan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) pada sembilan tahun lalu.










