KUALA LUMPUR: Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos mendakwa Khairy Jamaluddin adalah dalang mengenai ‘tag’ (tanda) pada kerusi dalam Dewan Merdeka yang dikhaskan untuk perwakilan UMNO ditanggalkan.
Dakwa Jamal, tag kedudukan perwakilan yang ditanggalkan di dalam dewan dilakukan oleh konco-konco yang diupah oleh Bekas Ahli Parlimen Rembau itu.
“Saya tak tahu mengenai kerusi yang dicabut tag itu. Kalau kenyataan itu dikeluarkan oleh Khairy, sedangkan kami yang dari semalam hingga hari ini berada di dalam dewan tersebut, saya yakin perbuatan tersebut dilakukan oleh orang-orang KJ sendiri.
“Dari semalam kami duduk di barisan yang sama, hari ini bila dia sebut tag tidak ada, kami tak perasan pun tidak ada tag. Jadi saya yakin mungkin dalam waktu rehat, tengah hari atau awal pagi tadi (tag itu dicabut), KJ saja yang tahu. Orang lain tak tahu, saya pun tak tahu.
“Saya yakin perkara itu dilakukan oleh beliau sendiri atau oleh konco-konco yang diupah termasuk yang ‘boo’ semalam. Saya yakin perbuatan ‘boo’ semalam sebahagian perwakilan dibayar oleh KJ dan orang-orangnya. Mereka semua diupah oleh saudara KJ,” katanya dalam sidang media di Laman Media, hari ini.
Siang tadi, Khairy berkata beliau difahamkan tag kedudukan perwakilan yang sebelum ini diletakkan di kerusi Dewan Merdeka telah pun ditanggalkan.
Keadaan itu, dakwa Khairy berkemungkinan besar bagi membawa masuk pengundi luar bagi meluluskan usul kelapan yang akan berlangsung pada petang ini.
Jamal turut mendakwa, sebahagian perwakilan yang berada dalam kumpulan ‘boo’ memaklumkan telah menerima bayaran sehingga RM300.
“Sekuat mana (tuduhan) diupah? Sekuat mana ‘diboo’ itu, setinggi itu lah nilai yang dibayar oleh mereka.
“Saya tahu kalau tiada bayaran, lagi kuat suara mereka ‘boo’, lagi banyak mereka dapat bayaran. Itu yang saya dimaklumkan,” dakwa Jamal.
Dalam pada itu, Jamal berkata beliau akan menghantar aduan rasmi kepada Lembaga Dsiplin UMNO agar tindakan diambil terhadap Khairy Jamaluddin.
“Saya minta Lembaga Disiplin UMNO untuk mengambil tindakan kepada KJ yang semberono mengeluarkan kenyataan berniat jahat.
“Selepas ini, saya akan membuat aduan rasmi kepada Lembaga Disiplin supaya mengambil tindakan dan berharap KJ boleh digantung daripada ahli UMNO,” katanya.
Pada masa sama, katanay laporan polis juga akan dibuat terhadap Khairy.