Jalaluddin Minta Jabatan Kerajaan Permudahkan Urusan Rakyat

KUALA PILAH – Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) diharap dapat mengurangkan kerenah birokrasi dalam urusan pemberian bantuan kepada pekebun kecil.

Exco Kanan merangkap Exco Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, ia sekali gus memastikan bantuan disediakan dapat digunakan semaksimum mungkin.

“Saya harap kita dapat kurangkan segala birokrasi dalam soal proses bantuan yang akan diberikan kepada pekebun kecil ini supaya mereka lebih mudah akses kepada setiap bantuan yang ada.

“Jangan banyak sangat syaratnya. Kadang-kadang pekebun ini mengadu kepada saya, nak dapat bantuan seekor kerbau pun lama menunggu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program Gerakan GPPG dan Konvensyen GAP Matang Peringkat Negeri Sembilan di Dewan Anjung Perpatih Universiti Teknologi Mara kampus Kuala Pilah di sini pada Selasa.

Pada masa sama katanya, mereka yang menerima bantuan juga dinasihatkan menggunakannya sebaik mungkin supaya dapat membantu kerajaan menampung keperluan makanan di negara ini.

Selain itu jelasnya, pihaknya sedang menyusun atur petunjuk prestasi utama (KPI) dan prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha melahirkan penternak berjaya di Negeri Sembilan.

“Ia juga bagi memastikan penghasilan makanan di negeri ini dibuat secara bersistem bermula sekarang dan boleh menyumbang pembangunan dan pembelaan sekuriti makanan kita,” katanya.

Dalam pada itu kata Jalaluddin, pekebun kecil getah di bawah RISDA dinasihatkan mengambil kira pandangan dan garis panduan daripada agensi itu terlebih dahulu sebelum membuat keputusan beralih kepada tanaman lain.

Beliau berkata, sememangnya harga lantai getah di pasaran tidak menentu namun ia semakin baik, malah sentiasa mendapat perhatian kerajaan.

“Pemahaman kita berasaskan pada hasil komoditi ini mestilah dalam pelbagai bentuk jangka masa dan getah merupakan pendapatan jangka masa panjang yang mana mereka boleh dapatkan pendapatan seharian, mingguan malah bulanan.

“Jika mereka usahakan sendiri (tanpa ambil pekerja), pendapatan mereka jauh lebih baik berbanding pendapatan jika mengusahakan kebun durian misalnya yang maksimum pengeluarannya hanya tiga musim setahun,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, keseluruhan tanaman getah di Negeri Sembilan ialah 76,769 hektar iaitu 11,512 hektar melibatkan kebun getah muda manakala 65,257 hektar ialah kebun getah matang.

BBerkaitan

Latest articles