Jakim Nafi Individu Buat Hantaran Tular Masih Berkhidmat

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menafikan dakwaan seorang individu di media sosial yang mengaitkan dirinya sebagai kakitangan jabatan itu, sambil menjelaskan bahawa individu berkenaan tidak lagi berkhidmat sejak tujuh tahun lalu.

Menurut kenyataan rasmi yang dimuat naik Jakim di laman Facebook hari ini, individu dikenali sebagai Ramzul Ikbal Saiful Aula (رمزول إقبال سيف الأولى) hanya pernah berkhidmat sebagai pegawai kontrak (Contract for Service – COS) dalam kapasiti penerbit rancangan, dan bukannya pegawai hal ehwal Islam atau penjawat tetap jabatan berkenaan.

“Jakim ingin menegaskan bahawa individu tersebut telah menamatkan perkhidmatannya pada tahun 2018 dan sebarang kenyataan yang dibuat olehnya adalah bersifat peribadi serta tidak mewakili pandangan atau pendirian rasmi jabatan,” kata kenyataan itu.

Tegas Jakim, pihaknya tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kenyataan atau komen yang dimuat naik individu terbabit selepas tamat perkhidmatannya.

Kenyataan itu dibuat susulan satu hantaran tular di media sosial oleh individu berkenaan yang mendakwa dirinya masih berkhidmat di Jakim sambil mengeluarkan beberapa pandangan bersifat peribadi, namun mengaitkannya dengan institusi agama itu.

Hantaran tersebut mencetuskan kekeliruan dan salah faham dalam kalangan warganet terhadap peranan serta pendirian rasmi Jakim sebagai institusi agama utama di negara ini.

Justeru, Jakim menyeru orang ramai agar berhati-hati dalam menerima maklumat di media sosial serta memastikan kesahihan maklumat dengan merujuk kepada sumber rasmi.

“Segala kenyataan rasmi hanya akan dikeluarkan melalui saluran sah jabatan,” tambah kenyataan itu.

BBerkaitan

Latest articles