KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mengambil tindakan penguatkuasaan serta mengheret pihak yang menyalahgunakan logo halal ke muka pengadilan.
Mohd Na’im menegaskan, penyalahgunaan label logo halal pada sesuatu produk adalah kesalahan serius.
“Tindakan menyalahgunakan label logo halal adalah suatu kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730] iaitu Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
“JPM (Hal Ehwal Agama) tidak akan berkompromi dengan sebarang isu yang melibatkan integriti dan kepentingan awam.
“Semua pihak dimohon untuk sentiasa merujuk kepada JAKIM dan pihak berkuasa agama Islam Negeri-Begeri dalam isu berkaitan halal,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas insiden yang berlaku di premis jualan runcit 24 jam di sebuah universiti awam kerana menjual produk ‘ham dan cheese’ yang tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), Mohd Na’m menyifatkan kejadian itu sebagai amat mendukacitakan.
Terdahulu, JAKIM dalam kenyataan media mengesahkan produk ‘ham dan cheese’ yang dijual dalam premis di sebuah universiti awam di Kuala Lumpur tidak mempunyai SPHM dan syarikat yang menghasilkan produk itu bukan pemegang SPHM.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam dalam kenyataan media berasingan berkata pihaknya telah membuka kertas siasatan terhadap sebuah kilang pembuat roti sandwic di Sunway Damansara, Petaling Jaya, Selangor kerana disyaki menyalah guna logo halal.
Kes disiasat kerana melanggar Perenggan 4(1) Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730] dan menjadi kesalahan di bawah Perenggan 8(a), Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.