JAKIM Bakal Perkenal Garis Panduan Baharu untuk Penglibatan Umat Islam dalam Majlis Keagamaan Lain

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang memuktamadkan garis panduan baharu bagi mengatur penglibatan umat Islam dalam majlis keagamaan bukan Islam, termasuk sambutan perayaan, upacara kematian, kunjungan, serta penganjuran majlis di rumah ibadat selain Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, menjelaskan bahawa garis panduan tersebut bertujuan memastikan keterlibatan umat Islam dalam majlis sedemikian tidak mengandungi unsur yang boleh menimbulkan sensitiviti dalam kalangan masyarakat Islam.

Sebagai contoh, garis panduan itu akan merangkumi aspek seperti larangan terhadap ucapan atau nyanyian berbentuk propaganda, penyebaran risalah agama, serta sebarang bentuk persembahan atau ucapan yang menghina atau mempersendakan ajaran Islam.

Selain itu, garis panduan tersebut turut mempertimbangkan waktu penganjuran majlis agar tidak bertembung dengan ibadah umat Islam, seperti azan, solat berjemaah, khutbah, dan solat Jumaat.

Ia juga menetapkan bahawa lokasi majlis tidak boleh berhampiran dengan masjid, surau, tanah perkuburan Islam, serta premis wakaf.

Premis yang digunakan juga tidak boleh mempamerkan simbol keagamaan bukan Islam secara keterlaluan.

“Penganjur majlis juga perlu mendapatkan kebenaran pihak berkuasa yang berautoriti dan mendapatkan pandangan pihak berkuasa agama Islam sekiranya jemputan melibatkan pemimpin atau individu beragama Islam,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen semalam.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kepada soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh), yang meminta penjelasan mengenai pendirian kerajaan berhubung sambutan perayaan agama bukan Islam di premis kerajaan yang turut melibatkan individu Muslim, dalam usaha menjaga akidah serta keharmonian antara kaum.

Mohd Na’im turut memaklumkan bahawa garis panduan ini dijangka dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) ke-126, yang dijadualkan berlangsung dari 25 hingga 27 Februari ini.

“Garis panduan ini akan melengkapi garis panduan sedia ada yang dikeluarkan pada 2005. Sekiranya terdapat percanggahan antara kedua-duanya, garis panduan baharu akan diguna pakai,” tambahnya.

BBerkaitan

Latest articles