KUALA LUMPUR: Tindakan pembangkang yang mempolitikkan pindaan Akta Pembangunan Semula Bandar (URA) kerana dengki dengan usaha kerajaan yang membangunkan semula kawasan miskin di bandar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menepis dakwaan pembangkang kononnya pindaan itu menyebabkan hak orang Melayu semakin terancam.
Anwar juga membangkitkan mengapa pembangkang tidak menggunakan peluang memajukan kawasan miskin di bandar dan orang Melayu sendiri ketika memerintah dahulu.
Malah kini hendak menganjurkan perhimpunan aman kononnya untuk menyebarkan fitnah terhadap kerajaan.
“Isunya biarlah munasabah, ini isu pembangunan dan pemulihan bandar, kita nak tolong penduduk dan penghuni yang miskin, majoriti Melayu.
“Jadi kawasan itu kita nak bangunkan semula, dia nak bantah sebab apa? Ini hak Melayu, sejak bila kamu perjuangkan?
“Bila kamu perintah dulu, tak ada pun usaha membangunkan kawasan orang miskin, flat-flat lama termasuk orang Melayu di bandar, kita nak usahakan.
“Sebab itu saya nak bagi ingatan, jangan guna kebebasan ini untuk menipu dan memfitnah, apatah lagi atas nama Islam dan Melayu,” katanya kepada pemberita selepas menjamu selesa di Restoran Liga Maju selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Sekolah Sultan Alam Shah di Presint 1.
Anwar juga sempat menyampaikan tazkirah kira-kira 10 minit kepada pelajar-pelajar Sekolah Sultan Alam Shah sempena sambutan Ramadan pada minggu depan dan menjelang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tahun ini.
Mengulas hal sama, Anwar percaya tindakan pembangkang itu tidak lebih hanya mainan politik.
“Kita nak bangunkan orang Melayu, kamu hanya dengki dan hasad. Sebenarnya penyakit mereka ini penyakit hasad dengki, tak boleh tengok orang senang, tak boleh tengok projek-projek yang baik.
“Sekarang ini umpamanya projek-projek, dia tak pernah pergi saya ingat belah-belah Kampung Kerinchi, Flat Sri Perlis dan sebagainya, itu terlalu daif,” katanya.
Sebelum ini Pemuda PAS merancang mengadakan himpunan besar-besaran bagi membantah Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang bakal dibentangkan di Parlimen.