KUALA LUMPUR: Mendakwa perjuangan Bersatu kini telah terpesong dan dipenuhi dengan budaya fitnah menyebabkan seramai 50 ahli dan penyokong parti itu dari Simpang Tiga, Bidor mengumumkan keluar parti dan menyertai UMNO.
Bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Penerangan Bersatu cawangan itu, Adham Iskandar Ismail berkata, keputusan tersebut dibuat secara sukarela tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.
“Saya memang ikut perjalanan parti (Bersatu) tetapi saya nampak sekarang sudah lari daripada landasan perjuangan. Contohnya, di media sosial, terlalu banyak fitnah dan tohmahan yang tidak berasas,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan borang keahlian UMNO, malam tadi.
Adham bersama 49 lagi ahli, kebanyakannya daripada golongan belia, menyerahkan borang keahlian kepada Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tapah, Khairul Azmi Ghazali di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Simpang Tiga, Bidor.
Menurut Adham, beliau menyertai Bersatu pada 2019 dengan harapan untuk memperjuangkan nasib anak muda, namun semakin lama, parti itu gagal menunjukkan arah tuju yang jelas.
“Saya tersalah lorong. Sepatutnya kami bersama kerajaan yang ada sekarang untuk bangunkan belia di kawasan ini. Di bawah Bersatu, kami tiada panduan, tiada hala tuju, dan apabila kami mahu bantu masyarakat, kami sendiri terkapai-kapai,” katanya lagi.
Beliau turut menyuarakan keyakinan terhadap Barisan Nasional (BN) yang menurutnya lebih berstruktur dan berupaya memperjuangkan isu rakyat, khususnya anak muda.