SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menafikan pernah memberikan kebenaran rasmi kepada penganjur program eHati yang diadakan di IDCC Shah Alam, seperti yang didakwa syarikat penganjur dalam kenyataan media mereka pada 15 Julai lalu.
Menurut Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, pihak penganjur gagal merujuk keseluruhan modul program kepada JAIS walaupun telah diberikan teguran dan syor oleh Panel Sesi Penjelasan sejak 15 November 2022.
“Syarikat terbabit tidak pernah mengemukakan semula modul lengkap kepada JAIS untuk semakan selepas pertemuan bersama Panel, meskipun diarahkan berbuat demikian,” tegas beliau.
Tambah Mohd Shahzihan, siasatan awal JAIS terdahulu telah menerima aduan daripada peserta program eHati, yang mendakwa wujud elemen bertentangan dengan hukum syarak, termasuk penggunaan video berkenaan kaedah self-pleasure wanita atas alasan merapatkan hubungan suami isteri.
Walaupun Panel membenarkan program diteruskan dengan syarat ketat, termasuk menghapuskan kandungan bercanggah dan meletakkan penafian khusus, JAIS menegaskan langkah itu bukanlah satu kelulusan keseluruhan modul seperti yang cuba digambarkan penganjur.
“Sekiranya syarikat mematuhi sepenuhnya ketetapan 2022, insiden di IDCC Shah Alam tidak akan berlaku,” ujarnya lagi.
Susulan itu, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah mengarahkan JAIS untuk menyemak dan menambah baik Garis Panduan Program Keagamaan dan Kerohanian, bagi mengelak kekeliruan serta memastikan keseragaman dalam program keagamaan di Selangor.
JAIS turut menyeru umat Islam di negeri ini agar proaktif melaporkan sebarang program keagamaan yang meragukan, demi memastikan ajaran Islam terus dijaga mengikut fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.