Jaga Rakyat, ‘Cukuplah Berpolitik Siang Dan Malam’ – YDPA

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menitahkan seluruh rakyat memelihara kestabilan politik di negara ini.

Dalam titah perasmian Mesyuarat Pertama Sesi Kelima Parlimen ke-14, Sultan Abdullah turut mengingatkan wakil rakyat dan pemimpin politik untuk “cukuplah berpolitik siang dan malam” dan memberi fokus dalam menjaga kepentingan rakyat.

Dalam masa yang sama, Sultan Abdullah menzahirkan “rasa syukur” dengan kestabilan politik semasa dan kerjasama dwi-partisan yang dicapai hasil daripada memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh kerajaan dan pembangkang.

“Beta amat bersyukur dengan kestabilan politik yang dikecapi kini menerusi kerjasama dwi-partisan melalui Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang telah ditandatangani antara pihak kerajaan dengan pembangkang.

“Alhamdulillah, landskap politik negara kini lebih stabil bagi menjayakan agenda pembangunan demi kepentingan rakyat Beta dan masa hadapan negara.

“Hasil kesepakatan dan kematangan ini, pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 telah berjaya diluluskan melebihi dua pertiga Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada Disember lalu. Sesungguhnya peristiwa tersebut bakal terpahat sebagai detik bersejarah buat seluruh rakyat Malaysia,” titah baginda.

Rang undang-undang itu memberi pengiktirafan kepada tuntutan dan status istimewa Sabah dan Sarawak apabila menyertai Malaysia dalam Perlembagaan Persekutuan, selaras dengan peruntukan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka dalam Persekutuan Malaysia.

Mengenai isu rasuah, baginda bertitah perkara itu perlu diberi perhatian serius bagi memastikan ketelusan dan integriti dalam pentadbiran.

“Beta percaya kerajaan sedang melaksanakan dasar dan inisiatif Pelan Antirasuah Nasional (NACP) menerusi tindakan penguatkuasaan, pencegahan dan pendidikan bagi membanteras segala bentuk jenayah rasuah.

“Kerajaan juga sedang menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan melalui inisiatif kerajaan supaya lebih telus, cekap dan profesional.”

NACP 2019-2023 diperkenalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2019. Ia menggariskan enam bidang keutamaan yang terdedah kepada rasuah – tadbir urus politik, pentadbiran sektor awam, pemerolehan awam, tadbir urus korporat, sektor perundangan dan kehakiman, dan penguatkuasaan undang-undang.

Pelan itu disemak semula pada pertengahan penggal tahun lepas.

BBerkaitan

Latest articles