Jaga Kerjasama, Bukan Ambil Ahli Parti Rakan

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengingatkan parti-parti dalam kerajaan perpaduan untuk tidak ‘mencuri’ ahli daripada parti lain.

Begitu juga beliau turut menasihatkan rakan-rakan komponen di dalam kerajaan untuk menjaga kesejahteraan dan ukhwah dalam kalangan parti-parti dan menolak kepentingan peribadi.

“Parti dalam komponen kerajaan perpaduan tidak harus mengambil mana-mana ahli parti lain di dalam komponen itu. Kalau berlaku tentu mereka juga terasa hati.

“Jadi dalam keadaan sebegitu eloklah kita menjaga perpaduan dalam kalangan kita dan mana-mana ahli dan pimpinan parti mesti mengutamakan kepentingan partinya sendiri dan bukan kepentingan peribadinya,” katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Kolej Ketengah Kali Ke-4 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Sementara itu, Ahmad Zahid memaklumkan parti sehingga kini tidak menerima permohonan daripada Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk meninggalkan UMNO.

“Setakat ini tidak ada permohonan daripada beliau dan beliau juga tidak bertemu dengan saya. Jadi kita tidak dapat mengesahkan perkara itu,” katanya lagi.

Tengku Zafrul baru-baru ini didakwa bakal menyertai PKR.

Tengku Zafrul menjadi Ahli UMNO Bahagian Kota Raja pada Januari 2023 sebelum mengangkat sumpah sebagai ahli MKT UMNO sebulan berikutnya.

BBerkaitan

Latest articles