KUALA LUMPUR: Kepimpinan baharu Polis Diraja Malaysia (PDRM) diingatkan supaya mengangkat darjat sebagai badan keselamatan yang profesional, berintegriti dan dipercayai setiap pihak tanpa mengabaikan kebajikan pegawai, anggota serta veteran mereka.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau menitipkan pesanan itu semasa menerima kunjungan hormat Ketua Polis Negara yang baharu Datuk Seri Mohd Khalid Ismail di Putrajaya pada Isnin.
“Antara yang disentuh dalam pertemuan itu adalah soal memodenkan pasukan PDRM dalam mendepani cabaran keselamatan semasa dengan kecanggihan teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Anwar berkata PDRM yang juga institusi penting kepada rakyat dan negara memerlukan iltizam serta komitmen tinggi bagi memastikan keamanan dan keselamatan negara terus dipertahankan.
“Selamat maju jaya kepada Datuk Seri Mohd Khalid, semoga dapat mengangkat aspirasi, imej serta reputasi PDRM ke peringkat tertinggi,” katanya.
Mohd Khalid dilantik sebagai Ketua Polis Negara bagi tempoh dua tahun mulai 23 Jun 2025 hingga 22 Jun 2027.
Beliau yang sebelum ini Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman menggantikan Tan Sri Razarudin Husain yang bersara daripada perkhidmatan. – BERNAMA