Jaga Adab, Dewan Rakyat Bukan Tempat Memaki, Buat Fitnah

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, mengingatkan Ahli Parlimen bahawa Dewan Rakyat bukanlah tempat untuk bertelagah, memaki-hamun, atau menyebarkan fitnah. Sebaliknya, dewan ini adalah ruang yang mulia untuk membahaskan isu kepentingan rakyat dan kemakmuran negara.

Baginda menegaskan bahawa Ahli Parlimen perlu menjadi benteng perpaduan negara, bukan penyebab perpecahan rakyat. Oleh itu, baginda menyeru supaya mereka berhenti bermain politik dalam setiap isu dan mengutamakan kepentingan negara berbanding kepentingan parti atau kelompok sendiri.

“Parlimen adalah institusi terpenting dalam sistem negara kita. Ia merupakan medan untuk menyuarakan kehendak rakyat, menggubal undang-undang, serta menjalankan semak dan imbang terhadap pentadbiran negara,” titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah demikian ketika merasmikan Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat hari ini.

Baginda turut memuji kebanyakan Ahli Parlimen yang menunjukkan perubahan positif dengan bersikap lebih sopan dalam persidangan sebelum ini. Namun, baginda mengakui masih ada segelintir yang sukar meninggalkan tabiat lama.

“Saya lihat ramai ahli telah berubah dan menunjukkan sikap lebih baik. Tahniah kepada mereka. Namun, masih ada segelintir yang sukar mengubah perangai lama. Saya tidak perlu menyenaraikan sikap buruk tersebut kerana saya yakin setiap ahli tahu bagaimana menjaga tingkah laku masing-masing.

“Saya juga menghargai usaha semua pemimpin dalam mengekalkan kestabilan politik kerana ia telah membantu kemakmuran ekonomi dan sosial negara,” titah baginda.

Sementara itu, Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 turut disiarkan secara langsung menerusi media rasmi, televisyen tempatan, dan platform dalam talian.

Menurut takwim rasmi Parlimen, selepas pembentangan usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja, persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 18 hari. Ahli Parlimen akan berdebat mengenai usul tersebut selama tujuh hari bermula esok, sebelum sesi jawapan oleh menteri berkaitan pada 19 hingga 25 Februari.

Selain itu, sesi pembentangan rang undang-undang (RUU) dan urusan kerajaan lain dijadualkan berlangsung pada enam hari terakhir persidangan, bermula 26 Februari.

Persidangan Dewan Negara pula akan berlangsung selama 13 hari, bermula 3 Mac depan.

BBerkaitan

Latest articles