Jabatan Penjara Tak Benarkan Najib Hadir Sidang Parlimen

KUALA LUMPUR: Faktor keselamatan menjadi asas kepada penolakan Jabatan Penjara terhadap permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menghadiri persidangan Dewan Rakyat pada minggu ini.

Perkara itu dimaklumkan Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sambil menambah pihaknya pelik dengan alasan itu memandangkan Parlimen adalah tempat yang selamat.

“Kami telah menulis kepada Jabatan Penjara selepas bercakap dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun pada 19 September lepas. Bagaimanapun Jabatan Penjara telah menulis kepada kita dengan menolak permohonan atas alasan keselamatan.

“Pelik kerana pada masa sama beliau dibenarkan pula hadir ke prosiding mahkamah dan juga mendapat rawatan di hospital yang mana adanya kehadiran orang awam pada masa sama.

“Jadi mengapa timbul pula soal keselamatan? Tidak rasional sama sekali. Mahkamah ini tempat terbuka dan digunakan oleh orang awam, juga hospital yang mana ada orang ramai,” katanya kepada pemberita di lobi mahkamah hari ini.

Menurut Muhammad Shafee, pihaknya telah mengemukakan rayuan kepada Kementerian Dalam Negeri dan memberi tempoh sehingga jam 12 tengahari esok sebelum mengambil tindakan undang-undang.

Tambah beliau, Dewan Rakyat sudah secara rasmi memaklumkan bahawa Najib masih lagi Ahli Parlimen yang sah selagi permohonan pengampunan dan semakan kehakiman masih belum dijawab.

Berikutan itu, beliau meminta pihak berkuasa terbabit memberikan hak kepada bekas Perdana Menteri itu untuk terus menjadi wakil rakyat.

Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan menetapkan seseorang boleh hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen jika disabitkan kesalahan dan dihukum penjara lebih setahun dan denda lebih RM2,000.

Bagaimanapun, jika petisyen pengampunan difailkan dalam tempoh 14 hari daripada sabitan dan hukuman, atau selepas pelupusan mana-mana rayuan atau prosiding mahkamah berhubung sabitan dan hukuman, kehilangan kelayakan itu hanya berkuat kuasa apabila petisyen itu dilupuskan, mengikut Perkara 48(4)(c).

Najib telah memfailkan pengampunan diraja dalam tempoh 14 hari selepas sabitan kesalahan.

Latest articles

Related articles

spot_img