Izham, Pemimpin Kedua Amanah Pertahan UMNO ‘Parti Melayu Terbaik’

KUALA LUMPUR: Meskipun tidak menolak ada beberapa individu parti yang bermasalah, namun itu bukan gambaran sebenar terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Ketua AMANAH Selangor, Izham Hashim mengakui UMNO dan BN adalah sebuah parti Melayu dan gabungan politik terbaik di Malaysia.

Pujian itu diberikan berdasarkan sejarah dan prestasi UMNO dan BN selama mentadbir negara.

Bahkan, selepas mengadakan kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan (PH), Izham yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah menyifatkan UMNO sangat berdisiplin.

“Sejak merdeka, UMNO membuktikan ia parti baik. Kita tidak boleh melabelkan mereka parti teruk hanya disebabkan beberapa pemimpin.

“Kita tidak boleh menafikan sejarah dan kecemerlangan UMNO. Ia mempunyai sejarah panjang menyumbang kepada negara.

“Sejak beberapa minggu lalu, kita bekerjasama rapat, apa yang boleh saya katakan ialah mereka amat berdisplin. Sebab itu saya katakan ia parti Melayu terbaik,” katanya memetik laporan FMT.

Izham menjadi pemimpin kedua Amanah selepas Pengarah Komunikasi, Khalid Samad yang menyifatkan UMNO terbaik dalam kalangan tiga parti politik Melayu di negara ini.

Dalam perkembangan lain, Izham yakin pengundi Selangor akan menyokong gabungan perpaduan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Ketika ini, katanya, penyokong PH lebih terbuka mengundi calon BN berbanding sebaliknya, walaupun masih ada masa untuk membetulkan keadaan.

“Saya yakin (akhirnya) penyokong UMNO akan menyokong PH. Ada seminggu lagi untuk berkempen, saya yakin kita dapat meningkatkan peralihan undi,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles