KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tiada keperluan untuk melakukan sebarang rombakan Kabinet walaupun beberapa Menteri dan Timbalan Menteri gagal mempertahankan jawatan dalam pemilihan PKR baru-baru ini.
Menurut Anwar, kekalahan dalam pemilihan parti tidak memberi kesan langsung kepada pentadbiran kerajaan sama ada di peringkat negeri mahupun Persekutuan.
“Itu soal parti, tiada timbul soal kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan… jalan seperti biasa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Pendidikan Tinggi, hari ini.
Terdahulu pemilihan PKR 2025 menyaksikan kejutan besar apabila beberapa nama berprofil tinggi termasuk yang memegang jawatan Menteri dan Timbalan Menteri tewas dalam pertandingan di peringkat cabang.
Antara yang mencuri tumpuan ialah kekalahan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad yang gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang PKR Setiawangsa.
Beliau tewas kepada pencabarnya, pelakon dan pengarah terkenal Afdlin Shauki.
Keputusan rasmi di laman sesawang PKR menunjukkan Afdlin memperoleh 631 undi, mengatasi Nik Nazmi yang hanya menerima 563 undi.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Presiden PKR menolak tanggapan bahawa keputusan dalam pemilihan tersebut adalah hasil daripada percaturan politik dalaman.
“Saya lihat dari segi prestasi masing-masing dan bukan dari segi percaturan politik,” katanya ringkas.