KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, memutuskan aktivis, Iswardy Morni didapati bersalah, kerana mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dan menghina Yang di-Pertuan Agong melalui Facebook tiga tahun lalu.
Hakim Datuk M. M. Edwin Paramjothy memutuskan demikian selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.
Mahkamah bagaimanapun menangguhkan kepada 23 Januari ini untuk mendengar hujahan pendakwaan dan pembelaan berhubung mitigasi (rayuan bagi diringankan hukuman) dan hukuman.
Prosiding itu dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Iznina Hanim Hashim manakala tertuduh diwakili peguam Faizal Rahman.
Pada 1 Jun 2021, Iswardy didakwa mengeluarkan kenyataan melalui Facebook dengan nama Iswardy Morni Official, dengan menyebut kata-kata menghasut yang mempunyai kecenderungan bagi mendatangkan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, di sini pada jam 3 petang, 29 Mei 2021.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 4 Oktober lalu, mahkamah memerintahkan Iswardy membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya di akhir kes pendakwaan.