Isu Yang Berlarutan Antara Malaysia, Indonesia ‘Dinoktahkan’ Hari Ini – PM

KUALA LUMPUR: Hubungan akrab antara Malaysia dan Indonesia terus dijalin dan semakin baik, dengan kedua-dua belah pihak komited mencari penyelesaian dalam pelbagai isu yang berlarutan selama puluhan tahun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen di antara kedua-dua negara dapat dilihat dengan termeterainya beberapa memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang berkaitan sempadan, ekonomi, perdagangan dan pelaburan.

“Jadi komitmen Presiden (Indonesia, Joko Widodo) ini amat jelas, sebab itu pengarahan kita ini dan disambut baik di luar, satu jalur keras dan satu jalur sederhana itu sangat akrab dan saya bangga dengan pimpinan kedua-duanya, kita dapat selesaikan satu isu yang kita runding selama berpuluh tahun.

“Hari ini kita dapat saksikan, ada yang soal kecil yang diputuskan mengikut instruksi (arahan). Kemudian dari perdagangan dan pelaburan, itu penting dan sebab itu kita memberikan penumpuan yang lebih dalam MoU ini mengenai pelaburan langsung asing, pelaburan di sempadan yang dipermudahkan,” katanya di sidang media bersama Joko Widodo atau lebih dikenali Jokowi di Kompleks Seri Perdana di sini, sempena lawatan kerja dua hari Presiden Indonesia itu ke Malaysia.

Yang turut hadir, beberapa menteri Kabinet kedua-dua negara.

Terdahulu, Anwar dan Jokowi menyaksikan pertukaran enam instrumen bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala Malaysia-Indonesia, khususnya dalam bidang ekonomi serta keselamatan.

Anwar berkata, beliau tidak menganggap lawatan kerja Jokowi ke Malaysia sebagai lawatan biasa sebaliknya perundingan yang dilakukan antara kedua-dua pemimpin disifatkan sebagai keluarga dan sahabat akrab.

Jelasnya, ia terbukti dalam mana-mana sejarah hubungan dua hala dengan mana-mana negara, kerjasama dan persefahaman antara Malaysia dan Indonesia meningkat dengan luar biasa dalam tempoh yang singkat.

“Termeterainya beberapa MoU persefahaman, selain itu bidang kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Polis Indonesia, Menteri Pertahanan Indonesia dan Menteri Pertahanan Malaysia, walaupun tidak tercatat dalam persefahaman (MoU).

“Tetapi kerjasama dua hala itu sampai ke tahap sangat membanggakan dan akan memberi faedah dan manfaat bukan sahaja kepada pemerintah serta kerajaan, malah kepada rakyat Malaysia dan Indonesia,” katanya.

Dalam pada itu, kedua-dua pemimpin negara itu turut mengadakan perbincangan dan membuat keputusan dalam isu berkenaan pekerja migran dan isu sempadan antara kedua-dua negara.

Mengenai isu sempadan, Malaysia mendukung ibu negara Indonesia di Kalimantan dengan memperkukuhkan pembangunan di sempadan negara.

“Sekembalinya saya dari Indonesia, dalam Belanjawan Madani, kita memperuntukkan RM1 bilion untuk perkukuh beberapa badan berkanun, imigresen, kastam di sempadan termasuk juga jalan, infrastruktur dan prasarana asas

“Ini cara kita memberi dukungan dan sokongan kepada Indonesia dalam kerangka membina ibu kotanya,” katanya.

Mengenai isu sawit, Anwar berkata, Malaysia dan Indonesia buat pertama kali berkongsi suara menyuara dan mempertahan kepentingan komoditi itu.

Katanya, Jokowi sendiri menekankan dengan tegas di Forum Kumpulan Tujuh (G7) serta beberapa platform antarabangsa lain untuk menjaga dan memelihara kepentingan urusan, perdagangan serta pengeluaran kelapa sawit.

“Ini bukan sahaja untuk syarikat besar, malah untuk pekebun kecil dan saya menyambut baik serta mengucapkan tahniah kepada menteri berkaitan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles