KUANTAN: UMNO menyifatkan dakwaan kononnya 10 ‘warlord’ parti itu akan menyertai Perikatan Nasional (PN) sengaja ditimbulkan, apatah lagi tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri semakin hampir.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan ia antara taktik digunakan pihak lawan dan perkara itu tidak perlu dimainkan atau diwar-warkan.
“Itu khabar angin, jangan percaya lagilah, semua orang boleh bercakap (ada) 10, lima tiga ‘warlord’ macam-macam. Kita kena faham ini politik, ada PRN ni macam-macam cerita yang entah betul entah tidak.
“Kemudian kita pula mewar-warkan cerita yang belum sahih lagi tu, sampai masa kita hadapilah (PRN), jadi jangan percayalah,kita ‘move forward’,” katanya ketika diminta mengulas mengenai dibuat pemimpin PN berkaitan perkara itu.
Media sebelum ini melaporkan selain bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar, bekas Menteri Kesihatan yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar disebut-sebut bakal menyertai PN.
Ditanya mengenai kemungkinan terdapat ‘warlord’ UMNO dari Pahang turut terbabit, Wan Rosdy memberitahu, ia di luar pengetahuannya.
“Saya tak ada dengar pun, tak ada dengar cerita apa-apa,” ujarnya.