KUALA LUMPUR: Untuk mencari kemenangan bersama dalam enam pilihan raya negeri tidak lama lagi, kesemua parti-parti yang bekerjasama membentuk Kerajaan Perpaduan perlu saling mengundi rakan kerjasama politik mereka.
Hal itu ditegaskan Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama UMNO (MUU), Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dengan berkata, kerjasama politik pada kebiasaannya tidak mengubah dasar dan prinsip asas sesebuah parti.
Bagaimanapun parti tetapnberpegang kepada perkara asas kepada kerjasama politik terjalin apabila syarat-syarat dipersetujui dan dipenuhi.
Dalam hal ahli-ahli UMNO yang bakal mengundi calon DAP dalam PRN akan datang, Mohd Khairuddin berkata, hal itu dibolehkan berdasarkan kepada strategi politik semasa yang boleh berubah.
“Mengundi rakan kerjasama politik merupakan strategi semasa parti yang boleh berubah mengikut keadaan yang tujuannya demi matlamat semasa yang ingin dicapai,” demikian memetik kenyataannya hari ini.
Bagaimanapun Mohd Khairuddin memberitahu setiap kerjasama yang dijalin dengan mana-mana pihak akan dinilai semula sekiranya wujud pelanggaran asas kerjasama.
“Apabila syarat dilanggar maka kerjasama politik boleh dirungkai dan dibatalkan. Itu asas dan prinsip dalam bekerjasama.
“Kerjasama politik dilakukan oleh semua parti-parti politik di pelbagai negara sebagai strategi semasa untuk mencapai matlamat tertentu bersifat semasa oleh parti. Ketika kerjasama politik, semua parti kekal dengan dasar masing-masing ketika bekerjasama tetapi ada titik dan prinsip yang dipersetujui bersama sebagai strategi dan pendekatan,” katanya.
Dalam pada itu Mohd Khairuddin menjelaskan, kesudian UMNO bersetuju bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) selepas Pru15 mengambil kira persetujuan empat prinsip yang telah disepakati bersama iaitu
menjunjung Islam sebagai agama Persekutuan, mempertahankan institusi Raja-raja Melayu sebagai asas bernegara, memperakui Hak Istimewa Melayu dan Bumiputra dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Menyorot kembali kerjasama PAS dengan DAP sebelum ini, Mohd Khairuddin berkata, parti Islam itu turut mengarahkan ahlinya mengundi dan berkempen untuk parti berkenaan pada pilihan raya.
Perkara berkenaan menurutnya, adalah strategi politik semasa PAS ketika itu, demikian juga apabila PAS pernah mengecam Tun Dr Mahathir Mohamad di atas tragedi Memali namun hari ini kembali memujinya kerana kemungkinan untuk kerjasama politik bersama Perikatan Nasional (PN) boleh diadakan.
“(Pada tahun) 2015 PAS terkeluar daripada Pakatan Rakyat dan tidak lagi bersama DAP. Terkini PAS pula bekerjasama dengan Gerakan yang juga pernah menentang keras usaha PAS menegakkan hudud. Sebelum ini Pas mengecam dan mengutuk Tun Dr Mahathir tetapi hari ini PAS kembali bersama Tun dan memuji Tun yang dulu dikecam kerana tragedi Memali yang melukakan hati ahli PAS.
“Apa yang pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak kata dan kutuk PAS tapi hari ini PAS dan Bersatu bekerjasama menerusi PN,” ujarnya.