More

    Isu Transgender: Utamakan Kepentingan Umum Berbanding Kepentingan Kecil

    KUALA LUMPUR: Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata golongan mukhannath (transgender) perlu menyesuaikan diri dengan budaya dan norma masyarakat tempatan di tempat mereka menjalani kehidupan.

    Malah golongan terbabit perlu menghormati kesucian rumah ibadah Islam dengan penampilan yang sesuai.

    Ujar Wan Salim, golongan ini juga perlu mengubah cara penampilan mereka di tempat ibadah supaya tidak kelihatan berbeza atau ganjil berbanding jemaah yang lain.

    “Apabila bertembung kepentingan sebahagian kecil manusia dengan kepentingan umum maka Islam mengajar umatnya supaya mengutamakan kepentingan umum.

    “Maka jika golongan mukhannathterus berdegil untuk menampilkan diri mereka secara tidak wajar maka pihak pengurusan masjid tiada pilihan kecuali bertegas menghalang mereka hadir di masjid.

    “Terserah kepada golongan berkenaan untuk memilih apa yang mereka fikir baik untuk diri mereka sendiri,” katanya memetik laporan Malaysiakini.

    Dalam masa yang sama, menurut Wan Salim, pihaknya amat bersimpati dengan golongan transgender kerana mereka memang ingin diterima oleh masyarakat.

    Bagaimanapun dalam soal ibadah dan tempat beribadah, Wan Salim mengingatkan golongan transgender untuk menghormati kesucian tempat dan para jemaah agar tidak menimbulkan ketidaksenangan.

    “Jawatankuasa masjid yang dilantik oleh majlis agama Islam sesebuah negeri bertanggungjawab memastikan segala urusan berkaitan masjid dan kariah berjalan dengan lancar serta kondusif bagi para jemaah menunaikan ibadah.

    “Kehadiran golongan mukhannathdi masjid dengan penampilan diri mereka yang janggal sudah tentu tidak disenangi serta meresahkan jemaah lain.

    “Untuk menyelesaikan kemelut ini, tiada jalan lain kecuali mereka mengubah cara penampilan ketika berada di tempat ibadah supaya tidak lagi kelihatan ganjil atau berbeza dengan jemaah lain,” katanya.

    Pulau Pinang dilaporkan sedang meneliti kemungkinan yang sama seperti Perlis, iaitu mengenakan larangan terhadap golongan terbabit daripada memasuki masjid.

    Begitu juga Wilayah Persekutuan di mana ia juga bakal mengambil langkah larangan yang sama terhadap golongan transgender untuk memasuki masjid,

    Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Marzuk Shaary menyifatkan tindakan Perlis mengenakan larangan berkenaan adalah wajar demi menjaga kesucian masjid dan menghindari kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

    Berita Berkaitan

    Berita Terkini