Isu Titah Adendum: Rafizi Cabar UMNO Letak Jawatan, Usah Sekadar Ugut

KUALA LUMPUR: Isu pengampunan Najib Razak disifatkan sebagai ujian paling kritikal terhadap kejujuran dan ketegasan pendirian politik UMNO dalam Kerajaan Perpaduan.

Sehubungan itu parti itu didesak supaya menetapkan “garis merah” yang jelas dan berprinsip, bukan sekadar bermain retorik.

Demikian gesaan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli sambil berkata UMNO mempunyai hak sepenuhnya untuk bertindak secara politik, termasuk menarik diri daripada kerajaan sekiranya tidak berpuas hati dengan keputusan berkaitan Najib.

Namun, beliau menegaskan, pendirian itu hanya akan dihormati sekiranya selari antara kenyataan dan tindakan.

Menurut Rafizi, ugutan berulang untuk keluar kerajaan tanpa sebarang tindakan konkrit hanya akan melemahkan kredibiliti parti tersebut.

Katanya, jika ancaman itu sering dilontarkan tetapi tidak pernah direalisasikan, ia akhirnya menjadi hambar dan tidak lagi dipandang serius oleh rakyat.

Kenyataan Rafizi dibuat susulan rasa tidak puas hati sebahagian pemimpin UMNO terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan bahawa titah adendum berkaitan pengampunan Najib, yang didakwa dibuat di luar mesyuarat Lembaga Pengampunan, adalah tidak sah dari sudut Perlembagaan Persekutuan.

Beliau menegaskan, jika isu pengampunan Najib benar-benar dianggap sebagai satu garis merah oleh UMNO, maka parti itu perlu membuat keputusan tegas dan berprinsip.

“Tidak perlu ugut, tidak perlu kerah penyokong. Jika garis merah dilanggar, letakkan jawatan dan keluar kerajaan,” katanya sambil menambah bahawa ketika itu barulah rakyat akan benar-benar menilai kesungguhan UMNO.

Rafizi turut mengingatkan bahawa ancaman menarik sokongan bukanlah perkara baharu dalam landskap politik negara.

Malah, katanya, DAP sebelum ini juga pernah memberi bayangan untuk menarik diri daripada kerajaan sekiranya reformasi pentadbiran tidak dilaksanakan dengan lebih pantas.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa sebagai rakyat, keutamaan utama ialah memastikan setiap keputusan negara dibuat berlandaskan undang-undang serta proses yang adil, tanpa mengira kedudukan atau status individu terbabit.

Menurutnya, selagi Najib dilayan sebagai rakyat biasa di sisi undang-undang, keyakinan terhadap kebebasan institusi kehakiman akan terus terpelihara.

Tambah Rafizi, bekas Perdana Menteri itu masih mempunyai ruang untuk meneruskan rayuan ke peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

“Rakyat akhirnya akan menilai integriti sistem kehakiman berdasarkan kekuatan hujah dan penghakiman di setiap peringkat,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles