KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti penternakan babi yang menjejaskan ketenteraman awam, khususnya jika ia dibangunkan berhampiran kawasan kediaman sehingga mencetuskan kegelisahan masyarakat setempat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa faktor sensitiviti dan keharmonian komuniti menjadi keutamaan kerajaan dalam menentukan lokasi aktiviti penternakan babi di negara ini.
Menurut beliau, kerajaan bersetuju aktiviti tersebut tidak wajar diteruskan sekiranya ia dilaksanakan di kawasan yang boleh mengganggu kesejahteraan penduduk, sebaliknya lokasi alternatif yang lebih sesuai dan jauh dari penempatan awam perlu dikenal pasti.
“Jika penternakan itu menimbulkan kegelisahan kepada penduduk tempatan, maka ia tidak harus diteruskan di kawasan tersebut. Sekiranya mahu diteruskan, cari lokasi yang jauh dan bersesuaian,” katanya.
Bagaimanapun, Anwar menegaskan pendirian dasar kerajaan adalah jelas dan konsisten, iaitu tidak melarang penternakan babi secara keseluruhan serta menghormati hak orang bukan Islam untuk mengamalkan cara hidup mereka, termasuk dari sudut pemakanan.
“Dari segi dasar, kita tidak menentang ternakan babi dan tidak melarang orang bukan Islam memakannya. Isunya adalah lokasi dan kesan terhadap ketenteraman masyarakat,” tegas beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara di Dewan Damar Sari, hari ini, yang turut dihadiri Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.
Anwar menegaskan, setiap keputusan kerajaan berkaitan isu sensitif perlu dibuat secara seimbang, berlandaskan undang-undang serta mengambil kira realiti masyarakat majmuk demi memastikan keharmonian negara terus terpelihara.










