Isu Tarif 19% – Rafizi Gesa SPRM Siasat PM, Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR: Isu tarif import Amerika Syarikat menjadi perhatian Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli apabila beliau mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa tidak menyiasat Perdana Menteri serta bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz.

Kenyataan itu dibuat susulan keputusan mahkamah di Amerika Syarikat yang mengisytiharkan tarif terdahulu diumumkan oleh Donald Trump sebagai tidak sah di sisi undang-undang.

Menurut Rafizi, perkembangan terbaharu menyaksikan tarif seragam 10 peratus dikenakan terhadap semua barangan import iaitu kadar yang jauh lebih rendah berbanding 19 peratus yang sebelum ini dikaitkan dengan rundingan Malaysia.

Rafizi secara sinis menyatakan beliau hanya mampu “tersenyum” melihat situasi itu, memandangkan sebelum ini wujud gesaan agar Malaysia tidak tergesa-gesa memeterai sebarang perjanjian tarif dengan Amerika Syarikat.

Beliau turut membayangkan bahawa persetujuan tersebut didakwa cuba dipakejkan sebagai syarat kepada kehadiran Trump ke Malaysia.

Bekas Menteri Ekonomi itu juga mendakwa usaha Tengku Zafrul untuk meyakinkan rakyat bahawa kadar 19 peratus merupakan hasil rundingan terbaik kini dipersoalkan, memandangkan negara-negara Asia Tenggara lain hanya berdepan kadar 10 peratus tanpa perlu menandatangani komitmen tambahan atau menyentuh soal kedaulatan masing-masing.

“Mereka tidak perlu setuju apa-apa, belum tandatangan apa-apa, tetapi kadar mereka lebih rendah,” tegasnya, sambil menyifatkan Malaysia kini menjadi bahan sindiran di rantau ini.

Rafizi turut mempersoalkan peranan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, yang menurutnya pantas menyiasat dakwaan terhadap beliau berhubung rundingan dengan syarikat cip global, tetapi tidak mengambil tindakan sama terhadap kepimpinan tertinggi negara dalam isu tarif tersebut.

Beliau menyifatkan keadaan itu ibarat “gajah di depan mata tidak kelihatan”, dan menggesa supaya jika benar mahu menyiasat sebarang perjanjian yang didakwa dibuat secara tergesa-gesa hingga merugikan negara, siasatan juga perlu melibatkan Perdana Menteri dan Tengku Zafrul.

BBerkaitan

Latest articles