Isu Surat Sokongan: Teguran Keras Tak Cukup, Anwar Patut Pecat Setpol

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli tampil mengkritik tindakan kerajaan yang hanya memberi ‘tegur keras’ kepada Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri berhubung isu surat sokongan kontraktor, sambil menegaskan individu itu sepatutnya dipecat serta-merta.

Menurut Rafizi, kejadian seumpama itu bukan perkara baharu dan pernah dibangkitkannya beberapa kali sebelum ini.

Malah, dakwa beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri pernah mengesahkan aduan-aduan tersebut.

Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi berkata, isu surat sokongan projek hospital tersebut wajar diserahkan kepada SPRM bagi menyiasat sama ada wujud sebarang habuan atau salah laku yang lebih serius.

“Kalau hanya tegur keras tapi orang itu masih duduk di situ, lama-lama orang tak percaya. Takut orang kata depan lain, belakang lain,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau turut menyifatkan jawapan Anwar di Dewan Rakyat bahawa setiausaha politiknya tidak sepatutnya mengeluarkan surat sokongan dan telah ditegur sebagai tindakan yang “tidak ada umph”.

Katanya, selepas tiga tahun menjadi kerajaan, rakyat menuntut bukti nyata dalam usaha melawan rasuah, bukan sekadar ucapan lantang.

Rafizi kemudian berkongsi statistik rasmi berkaitan prestasi pencegahan rasuah dari 2020 hingga 2025.

Walaupun jumlah maklumat rasuah menurun dan kertas siasatan meningkat, kadar pendakwaan dan sabitan dilaporkan semakin merosot.

Pada 2024, hanya 39% daripada kertas siasatan membawa kepada pertuduhan, berbanding 56% pada 2020.

Sabitan pula jatuh kepada 22%, berbanding 36% pada 2021.

Beliau menegaskan jurang antara retorik anti rasuah dan hasil sebenar semakin ketara, dan meminta cybertrooper kerajaan berhenti menyerang secara membuta tuli.

“Ini fakta. Kalau rakyat jadi sinikal, jangan salahkan mereka,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles