Isu Subsidi Warga Asing: Siasatan SKMM Masih Siasat Kenyataan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) masih belum memuktamadkan siasatan berhubung kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengaitkan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dengan tindakan mempertahankan pemberian subsidi kepada warga asing.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan, siasatan tersebut dijalankan mengikut peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) susulan satu laporan yang diterima daripada orang awam berkaitan kandungan melibatkan isu subsidi petrol kepada warga asing.

Menurut beliau, sehingga kini siasatan masih berjalan dan belum mencapai sebarang keputusan muktamad.

Perkara itu dinyatakan menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Muhyiddin yang meminta penjelasan mengenai status siasatan terhadap kenyataan Anwar pada 5 Ogos 2025.

Muhyiddin turut mempersoalkan sama ada perdana menteri akan menarik balik kenyataan tersebut serta memohon maaf sekiranya dakwaan itu didapati tidak berasas, memandangkan tempoh lebih empat bulan telah berlalu sejak isu berkenaan dibangkitkan.

Terdahulu, Anwar pernah menyatakan kesediaan untuk memohon maaf kepada Muhyiddin, namun menegaskan beliau perlu menunggu hasil siasatan SKMM bagi menentukan kesahihan tiga sumber maklumat yang dirujuk sebelum sebarang tindakan diambil.

Bagaimanapun, Muhyiddin yang juga bekas perdana menteri mendakwa beliau masih belum menerima sebarang laporan rasmi daripada SKMM berhubung status kesahihan maklumat tersebut, selain menegaskan permohonan maaf yang dijanjikan masih belum dilaksanakan.

BBerkaitan

Latest articles