Isu sensitif membabitkan dakwaan pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan serta penganjuran perhimpunan protes oleh Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) tidak boleh ditangani secara emosional atau berunsur provokasi, sebaliknya memerlukan kebijaksanaan, dialog dan penghormatan terhadap prinsip perpaduan nasional.
Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menegaskan pihaknya memandang serius reaksi masyarakat terhadap isu berkenaan yang berpotensi menjejaskan keharmonian antara kaum dan agama di negara ini.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, setiap isu melibatkan sensitiviti agama perlu diurus secara berhemah, berpandukan semangat muhibah dan saling menghormati demi memelihara kestabilan masyarakat majmuk.
Menurut beliau, Kerajaan Madani kekal berpegang kepada prinsip kebebasan beragama sebagaimana termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, namun dalam masa sama menegaskan bahawa segala urusan berkaitan rumah ibadat perlu mematuhi undang-undang serta bidang kuasa pihak berkuasa tempatan.
“Semua pihak diseru mengutamakan dialog dan rundingan bersama pihak berkepentingan bagi mencari penyelesaian terbaik, serta mengelakkan tindakan terburu-buru yang boleh mencetuskan salah faham dan menggugat keharmonian masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Aaron turut menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang melaksanakan usaha pemutihan rumah ibadat dibina tanpa kebenaran, menerusi pendekatan kerjasama, perundingan dan penyelesaian secara harmoni selaras dengan prinsip tadbir urus berlandaskan undang-undang.
Beliau menegaskan, perpaduan nasional adalah aset paling berharga negara dan tidak seharusnya digadai akibat emosi, salah tafsir atau penyebaran naratif tidak bertanggungjawab, khususnya di media sosial.
“Kerajaan akan terus komited memelihara keharmonian, memperkukuh perpaduan nasional dan memastikan ruang awam tidak disalahgunakan sebagai platform menyemai kebencian atau perpecahan dalam kalangan rakyat Malaysia,” tegas beliau.










