PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan membentangkan penjelasan menyeluruh kepada Jemaah Menteri esok berhubung polemik rumah ibadat yang didakwa tidak mematuhi peraturan, termasuk insiden pencerobohan sebuah kuil di Rawang yang tular sejak kebelakangan ini.
Menurut beliau, taklimat itu akan merangkumi gambaran sebenar kejadian, pihak-pihak yang terlibat serta langkah diambil Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan keadaan kekal terkawal.
“Saya akan jelaskan kepada Jemaah Menteri mengenai apa yang benar-benar berlaku, siapa yang terbabit dan bagaimana polis mengawal situasi,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), hari ini.
Saifuddin berkata, tindakan penguatkuasaan kadangkala disalah tafsir apabila dilihat hanya dari satu sudut, khususnya apabila melibatkan perhimpunan atau isu sensitif berkaitan agama dan kaum.
“Apabila polis bertindak, ada yang mendakwa kerajaan tidak menghormati kebebasan berhimpun dan bersuara. Tetapi kebebasan bersuara bukan lesen untuk menghasut atau meniup sentimen perkauman dan agama. Setiap kebebasan ada batasnya,” tegas beliau.
Beliau turut menjelaskan bahawa polis menggunakan Seksyen 105 Kanun Tatacara Jenayah sebagai langkah pencegahan yang dibenarkan undang-undang bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih tegang.
Mengulas lanjut, Saifuddin menegaskan isu rumah ibadat yang tidak mengikut peraturan bukanlah perkara baharu, sebaliknya telah lama wujud.
Namun, katanya, kebelakangan ini ia kembali dimainkan sehingga menimbulkan persepsi seolah-olah isu tersebut baru muncul dalam tempoh pentadbiran Kerajaan MADANI.
“Hakikatnya perkara ini sudah lama berlaku. Tetapi ada pihak memilih untuk memanipulasikannya dengan memainkan sentimen dan emosi tanpa menawarkan jalan penyelesaian yang konstruktif,” katanya.
Beliau menekankan bahawa jika isu melibatkan status tanah, pemilikan atau perancangan bandar, semua pihak perlu mematuhi saluran undang-undang yang ditetapkan.
Tindakan sendiri atau provokasi, katanya, hanya akan memburukkan keadaan dan tidak membawa kemenangan kepada mana-mana pihak.
“Kalau benar mahu menyelesaikan masalah, kembali kepada asas – sama ada melibatkan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan atau undang-undang di bawah bidang kuasa tertentu. Bukan ambil kesempatan untuk kepentingan politik sementara,” ujarnya.
Terdahulu dalam ucapannya, Saifuddin memaklumkan beliau telah mengarahkan Ketua Polis Negara serta Pengarah Cawangan Khas menyediakan laporan terperinci berhubung insiden berkenaan bagi memastikan setiap tindakan dibuat berlandaskan fakta dan peruntukan undang-undang.
Dalam perkembangan sama, beliau menyeru semua pihak agar terus memelihara keharmonian masyarakat majmuk negara ini dan menyelesaikan sebarang pertikaian melalui saluran sah.
Semalam, media melaporkan polis menahan empat lelaki bagi membantu siasatan kes pencerobohan sebuah kuil di Rawang, Selangor.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar dilaporkan berkata penahanan dibuat susulan laporan diterima berhubung perobohan rumah ibadat yang didakwa dibina tanpa mematuhi peraturan.










