Isu Qunut Nazilah, Takbir Hangatkan Perbahasan, Speaker Arah Misbahul, Mohd Sany Keluar Dewan

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat pada petang ini dihangatkan dengan isu doa Qunut Nazilah dan takbir yang didakwa dilarang dilaungkan di sekolah.

Ahli Parlimen Parit Buntar, Misbahul Munir Masduki terdahulu mendakwa Kementerian Pendidikan tidak membenarkan takbir dan doa Qunut Nazilah dilaungkan di sekolah dalam Program Minggu Solidariti Palestin.

Sehubungan itu beliau mahu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar memberi pandangan dalam dakwaan itu.

“Saya minta pandangan Menteri Hal Ehwal Agama, untuk doa Qunut Nazillah dan takbir yang tidak dibenarkan oleh Menteri Pendidikan pertama. Saya harap Menteri Hal Ehwal Agama tidak menghalang pelajar sekolah agama melaungkan takbir dan doa Qunut Nazilah kerana ia diajar oleh sunnah Rasulullah SAW.

“Takbir ialah laungan membesarkan Allah, maknanya Allah. mengapa ia tidak dibenarkan ketika Palestin ditimba musibah,” katanya ketika ketika Sesi Perbahasan Belanjawan di Peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.

Dewan Rakyat kemudiannya kecoh apabila Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bersuara mengatakan apa yang dikatakan oleh Misbahul tidak benar.

Ia kemudian dibalas oleh Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamdan yang mengatakan dakwaan Misbahul tidak benar, kenyataan yang mengelirukan dan fitnah di dalam Dewan Rakyat.

“Peraturan Speaker, mengelirukan apa yang dikatakan mengelirukan, fitnah dalam dewan ini,” katanya.

Susulan itu persidangan mula kecoh dengan beberapa ahli parlimen bangun dan bersuara.

Akibat kekecohan yang berlarutan beberapa minit, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memutuskan Misbahul dan Mohd Sany keluar daripadda Dewan Rakyat.

“Keluar untuk hari ini. Saya suruh duduk tidak mahu jangan pertikaikan,” tegasnya.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek baru-baru ini berkata ekosistem sekolah dinamik terdiri daripada pelbagai latar belakang dan agama.

“Jangan susah hati kalau sekolah tidak ada takbir, tidak ada Qunut Nazilah, ada sebab kenapa ia berlaku dalam suasana dan aktiviti yang dibenarkan bersesuaian dengan sekolah. Sebab itu penting ketika ini adalah mesej pendidikan dan kemanusiaan dan kedamaian,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles