KUALA LUMPUR: Sebanyak 26 buah syarikat kini berada dalam radar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan siasatan berhubung dakwaan salah laku berkaitan proses tender perolehan Tentera Darat yang dimulakan hari ini.
Sumber memaklumkan, siasatan itu bukan sahaja tertumpu kepada syarikat terlibat, malah pemilik-pemiliknya turut disiasat dan berkemungkinan dikenakan tindakan reman bagi membantu siasatan.
Operasi pengumpulan maklumat dan siasatan awal dilaporkan bermula sekitar jam 11 pagi melibatkan beberapa lokasi termasuk Lembah Klang, Perak serta Pulau Pinang.
Difahamkan, siasatan tersebut adalah kesinambungan tindakan SPRM yang hadir ke Kementerian Pertahanan (MINDEF) pada 23 Disember lalu bagi meneliti beberapa projek perolehan yang dilaksanakan melalui tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat.
Sehari selepas itu, tiga individu dipanggil ke SPRM untuk dirakam keterangan berkaitan kes sama.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan siasatan berkenaan dan memaklumkan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 17 dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009.










