SUNGAI BULOH: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bersumpah atas nama Allah bahawa tidak ada satu sen duit kerajaan disalahgunakan semasa pentadbirannya.
Anwar berkata, perkara itu masih perlu disiasat walaupun bekas Perdana Menteri kelapan itu telah bersumpah tidak mengambil duit kerajaan.
Tegas Anwar, isu penyalahgunaan wang kerajaan ketika pandemik Covid-19 tidak selesai hanya kerana Muhyiddin bersumpah dengan nama Allah.
“Hari ini dia kata dia sumpah tidak ambil duit kerajaan.
“Eh! Muhyiddin ini soal negara, tata kelola dan pentadbiran, sumpah tidak makan (tidak berguna), kena siasat berapa harta kamu ada
“Ini senang, semua sikit-sikit sumpah. Mana boleh,” katanya ketika berucap di Program Ramah Mesra bersama pengundi di Subang Perdana.
Turut hadir, penyandang Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa dan calon kerusi tersebut pada pilihan raya kali ini, R Ramanan.
Terdahulu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari mendakwa Muhyiddin perlu disiasat kerana telah membelanjakan RM500 bilion ketika pandemik Covid-19 dua tahun lalu.
Lantaran itu, Muhyiddin hari ini, bersumpah dengan nama Allah bahawa tidak ada satu sen duit kerajaan disalahgunakan semasa pentadbirannya.
Ujarnya, sewaktu menjadi Perdana Menteri di tengah-tengah kancah pandemik, segala perbelanjaan wang kerajaan dibuat mengikut garis peratusan kewangan sedia ada.
Sementara itu, Anwar sekali lagi menempelak Muhyiddin kerana menyifatkannya sebagai Perdana Menteri tepi.
Presiden PKR itu berkata, Muhyiddin sebenarnya tahu kemampuan beliau jika dilantik sebagai Perdana Menteri.
“Dia (Muhyiddin) hina saya. Muhyiddin, dengar Anwar jawab. Kamu kata aku PM tepi kamu tahu aku boleh jadi PM kalau aku khianat amanah seperti kamu dengan Bersatu tinggalkan PH.
“Kamu tahu aku boleh jadi PM kalau aku tulis surat jaminan kepada Datuk Seri Najib Razak, tetapi aku berbeza dengan kamu.
“Aku tidak sanggup jadi PM dengan mengkhianati perjuangan. Lebih baik jadi PM tepi daripada PM yang sakau duit rakyat,” tambah beliau