SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima menghadap Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor pada Isnin ini bagi mendapatkan penjelasan penuh serta perincian keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) berkaitan operasi industri penternakan babi di Kuala Langat.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri menjunjung kasih atas keprihatinan yang dizahirkan Sultan Selangor terhadap isu sensitif itu dan memandang serius segala pandangan serta nasihat baginda.
Menurut beliau, MMKN sebelum ini telah memutuskan supaya syarat operasi industri penternakan babi diperketatkan, dengan penekanan utama kepada pengurusan sisa yang lebih bertanggungjawab agar tidak mencemarkan sistem saliran dan alam sekitar.
Amirudin menegaskan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan semua agensi teknikal, bagi menamatkan isu yang berlarutan lebih sedekad.
Katanya, langkah tersebut bukan sekadar menjaga sensitiviti masyarakat, malah bertujuan melindungi kesihatan awam, kebersihan persekitaran serta mengelakkan pencemaran bau yang menjejaskan kualiti hidup penduduk.
“Langkah ini adalah pendekatan lebih tersusun dan tegas untuk menangani isu sensitif ini secara berhemah tetapi berkesan, dengan kawalan yang lebih ketat ke arah penyelesaian jangka sederhana dan panjang,” katanya merujuk penjelasan Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Ir. Izham Hashim dalam sidang media pada 8 Januari lalu.
Beliau turut mengesahkan Exco berkenaan akan menghadap Sultan Selangor pada Isnin, 12 Januari 2026, bagi mempersembahkan secara terperinci keputusan MMKN termasuk langkah penguatkuasaan oleh agensi terlibat supaya aspek keselamatan, kebersihan dan alam sekitar diperkukuh tanpa sebarang kompromi.
Amirudin menegaskan kerajaan negeri menjunjung tinggi segala titah, nasihat dan pedoman Sultan Selangor, sambil mendoakan baginda terus dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan untuk memayungi negeri Selangor dengan penuh kebijaksanaan.










