KUALA LUMPUR: Isu pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India, yang terletak di atas tanah milik syarikat Jakel, perlu diselesaikan secara muhibah tanpa mencetuskan ketegangan agama.
Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali menegaskan bahawa penyelesaian isu ini harus berlandaskan prinsip pemilikan yang sah dan mengelakkan sentimen agama bagi memastikan keharmonian terpelihara.
“Tiada keperluan untuk memperhangatkan sentimen agama. Kita perlu kembali kepada kaedah dan asas pemilikan yang betul. Keharmonian lebih berharga untuk dipertahankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengingatkan semua pihak agar tidak mengambil kesempatan dalam isu ini, sebaliknya memberi ruang kepada pihak berkaitan untuk berbincang dan mencari penyelesaian terbaik.
Mohd. Khairuddin menambah bahawa Islam menekankan penyelesaian secara harmoni dan perundingan dalam menangani sebarang isu berkaitan agama.
Menurutnya, perkara ini perlu diserahkan kepada pihak yang berhak mengikut undang-undang.
“Isunya adalah kuil ini dibina di atas tanah bukan miliknya. Pemilik tanah berhak mendapatkan kembali haknya dan membina apa sahaja di atas tanah tersebut, termasuk masjid.
“Kuil tersebut tidak dihapuskan, sebaliknya dipindahkan ke lokasi lain dengan diberikan peluang memiliki tanah yang sah untuk terus menjadi tempat ibadat,” jelasnya.
Sementara itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi jaminan bahawa isu ini akan diselesaikan dengan baik.
Menurut Unit Media Jabatan Perancangan Korporat DBKL, pihaknya telah mengenal pasti lokasi baharu bagi memastikan penganut Hindu dapat meneruskan aktiviti keagamaan mereka dengan selesa.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa perbincangan mengenai pemindahan kuil yang terletak di atas tanah milik Jakel Group berjalan secara harmoni antara pihak syarikat, pengurusan kuil dan DBKL.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd. Sharif turut menegaskan bahawa DBKL akan terus berperanan sebagai pemudah cara dalam memastikan urusan pemindahan ini diselesaikan dengan baik di lokasi yang lebih sesuai.