KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil mempertahankan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki susulan kontroversi dakwaan pemilikan saham bernilai jutaan ringgit yang kembali hangat diperkatakan.
Beliau menegaskan orang ramai seharusnya membaca dan memahami penjelasan yang telah diberikan sebelum membuat sebarang tuduhan atau spekulasi tidak berasas.
“Baca penjelasan Azam Baki. Dia buat kerja, buat apa maki dia. Dengar penjelasan masing-masing,” katanya ringkas ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM), hari ini.
Kenyataan itu dibuat sebagai reaksi terhadap dakwaan tular berhubung pemilikan saham dan waran membabitkan dua syarikat yang dikaitkan dengan Azam sejak beberapa minggu lalu.
Terbaharu, Azam mengesahkan beliau tidak lagi memegang sebarang saham dalam mana-mana syarikat sejak Julai tahun lalu.
Menurutnya, pegangan dalam Velocity Capital Bhd telah dijual pada Julai 2025 dan pengisytiharan harta dibuat secara proaktif ketika itu.
Beliau turut menjelaskan bahawa pengisytiharan tersebut dilakukan melalui Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) rasmi kerajaan, dan dokumen berkaitan boleh diakses pada bila-bila masa oleh pegawai yang diberi kuasa.
Bagaimanapun, semakan media terhadap rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati sehingga 13 Januari lalu, Azam masih memiliki kira-kira 4.52 juta saham dalam Awanbiru Technology Berhad, bersamaan pegangan 1.08 peratus.
Namun, setakat jam 5 petang hari ini, namanya tidak lagi tersenarai dalam dokumen berkenaan.
Sebelum ini, beliau turut dilaporkan memiliki 11.7 juta saham dalam Velocity Capital Partners Berhad.
Azam bagaimanapun menegaskan saham tersebut telah dibeli dan dilupuskan pada waktu yang tidak dinyatakan tahun lalu, walaupun rekod SSM masih menunjukkan namanya sebagai pemegang saham setakat 26 Disember 2025.










