Isu Pemandu Mabuk: Desakan Hukuman Lebih ‘Keras’ Termasuk Penjara Seumur Hidup

KUALA LUMPUR: Isu pemandu mabuk kembali mencetuskan kebimbangan apabila kerajaan didesak mengambil pendekatan lebih tegas, termasuk mendakwa pesalah di bawah Kanun Keseksaan serta mewajibkan bayaran pampasan besar kepada keluarga mangsa.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, hukuman sedia ada di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 masih belum cukup berkesan untuk membendung kes kemalangan maut akibat pemandu mabuk.

Menurutnya, meskipun undang-undang itu memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun, denda sehingga RM100,000 serta penggantungan lesen, kes seumpama itu masih berulang.

Beliau mengemukakan tiga cadangan utama, antaranya mendakwa pesalah di bawah Kanun Keseksaan dengan hukuman lebih berat seperti penjara seumur hidup atau hukuman setimpal, selain memperkenalkan pampasan mandatori kepada keluarga mangsa.

“Jika pelaku tidak mampu membayar, mekanisme alternatif termasuk tanggungan pihak tertentu perlu dipertimbangkan secara adil,” katanya.

Selain itu, beliau turut mencadangkan skim khairat kematian berpusat diwajibkan kepada semua pemegang lesen memandu bagi memastikan bantuan segera dapat disalurkan kepada waris mangsa tanpa kerenah birokrasi.

Desakan itu hadir susulan satu kemalangan tragis di Jalan Raya Barat, Klang, semalam yang mengorbankan seorang penunggang motosikal selepas dirempuh kereta dipandu lelaki dipercayai mabuk dan positif dadah.

Mengulas lanjut, Akmal menegaskan kejadian seperti itu bukan lagi kes terpencil, malah semakin kerap berlaku sehingga menimbulkan kebimbangan serius dalam kalangan masyarakat.

“Nyawa manusia bukan perkara kecil. Jangan tunggu sehingga melibatkan orang terdekat baru mahu bertindak,” tegasnya sambil menggesa pihak kerajaan dan Ahli Parlimen segera mengambil tindakan legislatif yang lebih tegas.

BBerkaitan

Latest articles