SUBANG JAYA: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (TMJ) menegaskan bahawa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak boleh berdiam diri atau berputus asa dalam usaha mencabar keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung isu dokumentasi tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Baginda menegaskan, perjuangan itu mesti diteruskan mengikut saluran undang-undang dengan berpegang pada bukti dan dokumen sah yang dimiliki oleh FAM.
“Kita tiada pilihan. Takkan kita nak menyerah kalah atau tunduk begitu saja? Walaupun FIFA ada kuasa membuat keputusan, kita perlu berjuang selagi yakin dengan bukti yang ada,” titah baginda dalam sidang media, semalam.
TMJ menambah, sekiranya keputusan rayuan yang akan diumumkan pada 30 Oktober ini masih tidak memihak kepada FAM, maka langkah seterusnya ialah membawa kes berkenaan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Baginda turut menzahirkan rasa simpati terhadap nasib tujuh pemain warisan yang digantung oleh FIFA, sambil menyifatkan mereka sebagai “askar Harimau Malaya” yang telah berjuang sepenuh hati untuk negara.
“Tak adil kalau kita tinggalkan mereka. Kita sendiri lihat komitmen dan semangat mereka di padang. Mereka bantu kita raih mata untuk negara, mereka bukan penjenayah,” titahnya.
“Kalau mereka digantung setahun tanpa boleh bermain, apa jadi pada periuk nasi mereka? Sebab itu kita mesti berdiri bersama mereka.”
FIFA sebelum ini mengenakan hukuman penggantungan 12 bulan serta denda CHF2,000 (RM10,560) terhadap tujuh pemain warisan iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel selepas mendakwa berlaku pemalsuan dokumen mengikut Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC).
Selain itu, FAM turut didenda CHF350,000 (RM1.8 juta) oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA.
Bagaimanapun, FAM telah mengemukakan rayuan rasmi dan kini menunggu keputusan penuh daripada FIFA hujung bulan ini.
TMJ menegaskan, perjuangan menegakkan keadilan untuk pemain warisan perlu diteruskan hingga ke peringkat tertinggi.
“Selagi kita percaya kepada kebenaran dan dokumen sah di tangan, kita tak patut duduk diam. Kita mesti lawan sampai habis,” titahnya.










