Isu Monopoli Beras Timbul Kerana Bernas Gagal Penuhi 10 Obligasi – Mada

KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) menggesa Padiberas Nasional Bhd (Bernas) memperkemas komitmen, termasuk memenuhi 10 obligasinya, agar tidak lagi timbul iau monopoli padi dan beras.

Pengerusinya, Datuk Ismail Salleh percaya isu monopoli timbul selepas syarikat konsesi itu gagal berbuat demikian, meskipun selepas kerajaan menyambung kontrak pengedaran makanan ruji syarikat itu sehingga 2031.

Ismail percaya kekangan itu menimbulkan krisis, antaranya kekurangan beras putih tempatan (BPT) dan benih padi sah.

Menurutnya, selain obligasi tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada pesawah, Bernas perlu memastikan komitmen mereka dalam bantuan bencana, menyedia simpanan stok (stockpile) benih padi dan beras, selain perlaksanaan sistem lebih menyeluruh dalam industri itu.

“Usaha dilakukan (Perdana Menteri) Datuk Seri Anwar Ibrahim berjumpa Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary untuk minta komitmen CSR, RM10 juta dan RM50 juta daripada Bernas, minta 30 peratus daripada profit (keuntungan), itu salah satu komitmen (obligasi).

“Kalau diperkemaskan semua komitmen itu, maknanya Bernas ini entiti swasta yang menjadi rakan karib kerajaan, membantu memastikan industri padi beras dipelihara dengan cara sepatutnya.

“Jadi kalau peranan itu dapat dilakukan saya rasa, orang tidak sentuh sangat berkenaan (isu) monopoli,” katanya memetik Scoop.

Ismail, dalam pada itu menekankan timbulnya isu monopoli ini akibat krisis keterjaminan makanan, terutama membabitkan masalah kekurangan bekalan beras tempatan seperti yang dibangkitkan sebelum ini.

“Orang sebut monopoli ini, maksudnya dia monopoli apabila dapat AP (permit) import, dia ‘single gatekeeper’ seorang sahaja dapat (hak import beras).

“Beras import sekarang berapa? Harga lantai RM32 atau RM3.20 sekilogram (kg). Cuba tengok di pasar raya ada tak harga ini. Tidak ada… (yang ada) RM45, RM55 atau RM65.

“Bila monopoli dengan margin keuntungan yang sangat tinggi, disamping tidak memberi komitmen disebut tadi, inilah orang marah pasal monopoli,” katanya.

Bernas, sebelum ini diberikan tempoh lanjutan pengedaran beras untuk tempoh 10 tahun lagi bermula 11 Januari 2021 hingga 10 Januari 2031.

Pelanjutan konsesi itu menyaksikan penambahan bilangan obligasi sosial daripada lima kepada 10 yang perlu dipenuhi Bernas.

Antara obligasi sosial itu, termasuk memelihara, menyelenggara, mengurus dan mengekalkan stok penimbal beras negara pada paras kuantiti ditetapkan kerajaan; bertindak sebagai pembeli terakhir padi daripada petani; pengurusan dan pembayaran subsidi kepada petani serta membangunkan sawah berskala besar.

Dalam pada itu Ismail menegaskan, ada keperluan untuk Bernas mematuhi serta menyegerakan segala obligasi itu.

Bagaimanapun jika Bernas gagal berbuat demikian, Ismail berkata, perubahan perlu dilakukan.

Ini kerana Bernas memperolehi dividen tinggi sebagai entiti tunggal iaitu hak mengimport beras.

“Sebab Bernas dapat sambungan kontrak, seterusnya dapat kontrak AP monopoli. Tapi (jika) dia kongsi sebahagian keuntungan itu dalam 10 komitmen tadi, pasti tidak ada yang mengadu kerana ‘stokpile’ (simpanan stok) cukup, malah sistem dan CSR ada waktu bencana.

“Saya rasa keperluan untuk mematuhi segala komitmen itu perlu disegerakan. Jika itu tidak berlaku, perubahan perlu dilakukan, tapi selepas 10 tahun lah (konsesi tamat) sebab MoU dah dimeterai.

“Buat masa ini, oleh kerana MoU itu ada, maka laksanakan keseluruhan komitmen terbabit yang saya rasa kalau dilaksanakan, Bernas akan berfungsi seperti Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN),” katanya.

Bernas, sepanjang tiga tahun kewangan (TK) lalu dari TK2020 hingga TK2022, membayar dividen RM996.22 juta kepada pemegang sahamnya, Tradewinds Group (M) Sdn Bhd yang dikawal Syed Mokhtar.

BBerkaitan

Latest articles