Isu Masuk Neraka: Muhyiddin Mohon Maaf

KUALA LUMPUR: Sebagai rakan dalam kerjasama Perikatan Nasional (PN), pastinya kenyataan pengundi ‘masuk api neraka’ yang digunakan PAS pastinya memberi impak kepada gabungan itu.

Sehubungan itu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini memohon maaf kepada mana-mana pihak yang tersinggung dengan kenyataan pengundi ‘masuk api neraka’ jika memilih Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Malah beliau menasihatkan semua pemimpin PN mengelak daripada mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana boleh menimbulkan salah faham.

“Tak apalah saya fikir mereka sudah mengetahui penjelasannya. Saya sendiri tidak berapa gemar buat kenyataan seperti itu.

“Yang penting elakkan kenyataan boleh timbulkan salah faham dalam kalangan pengundi,” katanya selepas menghadiri dalam program Santai Anak Muda Johor di Dewan Terbuka Taman Sri Penggaram, hari ini.

Muhyidin berkata, pihaknya turut mengharapkan isu kenyataan oleh pemimpin pemuda PAS Sik itu tidak perlu diperbesarkan.

“Seharusnya semua pemimpin PN perlu mengelakkan mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana boleh menimbulkan salah faham,” katanya.

Semalam, Ketua Pemuda PAS Sik, Mohd Shahiful Mhd Nasir, tampil memohon maaf susulan ucapannya yang memberi amaran pengundi ‘masuk api neraka’ jika memilih BN atau PH, berbanding PN.

Dalam video dimuatnaik dalam laman Facebook Pemuda PAS Sik, Shahiful mengemukakan permohonan maaf sambil mengakui kenyataan dibuatnya menyinggung ramai pihak.

Katanya, beliau juga mahu video berhubung kenyataan itu tidak disebarkan demi menjamin PRU bebas daripada isu perkauman dan agama melampau.

BBerkaitan

Latest articles