KUALA LUMPUR: Isu lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi baru-baru ini dimainkan secara negatif oleh kelompok tertentu dan tindakan itu jelas tidak adil kepada kementerian, kerajaan dan kerajaan Arab Saudi sendiri.
Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, ini kerana perkara yang dibangkitkan pihak bekenaan lebih bersifat spekulasi dan jauh menyimpang daripada fakta sebenar berhubung lawatan itu.
“Dalam konteks ini, Kementerian Luar menegaskan bahawa polemik-polemik serta tanggapan-tanggapan tidak berasas oleh sesetengah pihak di Malaysia atas kepentingan politik sempit tidak akan membantu dalam usaha kementerian memartabatkan diplomasi Malaysia ke arah pengukuhan hubungan dan kerjasama dengan negara-negara sahabat di seluruh dunia baik di peringkat dua hala, serantau dan antarabangsa,” katanya.
Menurut Wisma Putra, Kementerian Luar telah mengatur urus persiapan awal dan perjalanan lawatan rasmi tersebut secara profesional dan berdasarkan prosedur operasi tetap (SOP) bagi lawatan-lawatan rasmi pemimpin ke luar negara.
Ia adalah sepertimana yang dilaksanakan bagi lawatan-lawatan yang diadakan sebelum ini dan juga lawatan terkini iaitu lawatan rasmi Perdana Menteri ke Kemboja semalam yang telah berjalan dengan lancar dan jayanya.
Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir juga telah mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya di Arab Saudi, Putera Salman Farhan Al-Saud semasa lawatan ke Riyadh mulai 19 hingga 23 Februari lalu.
“Berdasarkan perjalanan dan hasil lawatan, lawatan rasmi Perdana Menteri ke Arab Saudi menggambarkan kepentingan hubungan diplomatik dan kerjasama di antara Malaysia dan kerajaan Arab Saudi.
“Malaysia sentiasa menganggap kerajaan Arab Saudi sebagai rakan strategik,” jelasnya.
Jelas Wisma Putra, Kementerian Luar telah menerima nota diplomatik daripada Kedutaan Besar Arab Saudi bertarikh 21 Mac lalu yang mengesahkan tarikh lawatan rasmi Perdana Menteri ke Arab Saudi.
Kata Wisma Putra, nota diplomatik yang serupa turut diterima pada tarikh yang sama oleh Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh daripada kerajaan Arab Saudi.
Wisma Putra berkata, kedua-dua nota diplomatik tersebut merujuk kepada lawatan rasmi Perdana Menteri pada 22 hingga 25 Mac lalu termasuk program kunjungan Raja Salman dan Putera Mahkota Mohammed.
“Kedua-dua nota diplomatik tersebut jelas menyatakan kerajaan Arab Saudi mengalu-alukan lawatan tersebut termasuk pelaksanaan ibadah umrah di Mekah dan ziarah di Madinah.
“Kementerian Luar ingin menjelaskan bahawa nota diplomatik merupakan antara komunikasi paling rasmi antara kerajaan dengan kerajaan,” jelasnya.
Mengenai penetapan masa lawatan itu, Wisma Putra memberitahu, cadangan tarikh awal untuk lawatan diadakan sama ada sebelum atau semasa bulan Ramadan tidak menjadi isu bagi pihak Arab Saudi.
Wisma Putra menjelaskan, perkara itu telah dinyatakan dengan jelas semasa perbincangan dan Kementerian Luar turut dimaklumkan kerajaan Arab Saudi mengambil sikap terbuka dan pernah menerima lawatan pemimpin asing dalam bulan Ramadan.
“Sebelum ini, Kementerian Luar Arab Saudi pernah membuat cadangan balas kepada tarikh lawatan seorang pemimpin Malaysia dalam bulan Ramadan,” katanya.
Tambah Wisma Putra, secara keseluruhan program Perdana Menteri berjalan lancar bermula dengan ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Abdulaziz, Jeddah pada pagi 22 Mac.
“Delegasi Malaysia telah diberikan Taraf Tetamu Negara penuh yang meliputi penyediaan kenderaan, penginapan dan liputan keselamatan oleh Saudi Royal Guard dan pegawai protokol daripada Majlis Diraja Arab Saudi (Royal Court).
“Kemudahan-kemudahan Taraf Tetamu Negara ini turut diperuntukkan semasa pelaksanaan ibadah umrah di Makkah Al-Mukarramah di mana lebih 50 orang anggota keselamatan mengiringi Perdana Menteri, begitu juga ziarah di Madinah,” katanya.
Wisma Putra memberitahu, delegasi Malaysia telah menerima makluman supaya tempoh lawatan dipanjangkan daripada tempoh asal bagi mengaturkan sesi-sesi kunjungan hormat dan pertemuan dengan kepimpinan tertinggi kerajaan Arab Saudi.
Bagaimanapun, kata Wisma Putra, delegasi Malaysia telah menjelaskan secara baik permintaan tersebut tidak dapat
dipenuhi disebabkan komitmen Anwar yang telah ditetapkan awal sebelum lawatan.
“Ini termasuk Majlis Iftar bersama Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong di Istana Negara pada 25 Mac lalu dan lawatan rasmi perdana menteri ke Kemboja semalam,” jelasnya.
Wisma Putra berkata, lawatan Anwar itu mencerminkan komitmen Malaysia untuk meningkatkan hubungan dan kerjasama antara kedua-dua negara ke tahap yang lebih kukuh dan komprehensif.
Terdahulu dalam sidang media di bangunan Parlimen semalam, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menganggap lawatan Anwar ke Arab Saudi sebagai gagal.
Beliau beranggapan sedemikian kerana lawatan itu langsung tidak melibatkan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud atau Putera Mahkota Mohammed Salman sedangkan dalam kenyataan media daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO) menyatakan jemputan itu adalah daripada kerajaan Arab Saudi.