Isu Ladang Babi: Selangor Kaji Lokasi Baharu, Jauh Dari Kawasan Penduduk

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor memberi jaminan akan menilai semula cadangan lokasi pembangunan ladang ternakan babi moden bagi memastikan projek berkenaan tidak menjejaskan kesejahteraan penduduk setempat serta meminimumkan risiko pencemaran alam sekitar.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah itu diambil susulan kebimbangan orang ramai berhubung kesan sisa ternakan yang didakwa masih mencemari perairan laut meskipun sebahagian besar ladang babi tradisional di Tanjung Sepat telah ditutup.

Menurut beliau, kerajaan negeri berhasrat menamatkan sepenuhnya operasi ladang tradisional yang mencetuskan pencemaran, selain merancang pemindahan penternakan ke kawasan lebih terpencil dengan sistem pengurusan moden dan terkawal.

“Kita sedang meneliti semula cadangan lokasi yang benar-benar sesuai, jauh daripada kawasan penempatan. Penternakan ini perlu dilaksanakan secara komprehensif dan teratur bagi memenuhi sekitar 30 peratus keperluan pasaran tempatan,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Amirudin, yang juga Ahli Parlimen Gombak, menjelaskan pendekatan itu selari dengan pelaksanaan di beberapa negeri lain seperti Perak, Sarawak dan Negeri Sembilan yang menempatkan ladang ternakan di kawasan terpencil menggunakan teknologi moden.

Beliau turut mendedahkan bahawa sebelum ini, kos pelaburan yang tinggi serta saiz pasaran tempatan yang kecil menjadi kekangan utama sehingga menyukarkan usaha menarik minat pelabur untuk membangunkan ladang ternakan bersepadu.

Dalam pada itu, Amirudin menolak dakwaan bahawa projek berkenaan bertujuan untuk eksport atau penjualan hasil ternakan ke luar kawasan, sebaliknya menegaskan ia hanya bagi memenuhi keperluan tempatan.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan supaya projek ladang ternakan babi berskala besar di Bukit Tagar dibatalkan susulan bantahan penduduk berbilang kaum, selain mengambil kira pandangan dan nasihat Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Cadangan pembatalan itu dibuat selepas kira-kira 400 penduduk bersama wakil pertubuhan bukan kerajaan mengadakan bantahan terhadap projek ladang ternakan berpusat di Bukit Tagar, Hulu Selangor yang dicadangkan sebagai lokasi pemindahan daripada Tanjung Sepat.

BBerkaitan

Latest articles