Isu Keluar Kerajaan Perpaduan, Kerjasama Dengan PAS Antara Isu Panas Gegar PAU 2025

KUALA LUMPUR: Umno memberi lampu hijau kepada perwakilan untuk membangkitkan isu sensitif termasuk cadangan keluar daripada Kerajaan Perpaduan serta kemungkinan kerjasama dengan PAS pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 yang akan bermula minggu depan, meskipun perkara itu tidak terkandung dalam mana-mana usul rasmi yang diterima parti.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Ibu Pejabat Umno menerima sebanyak 662 usul daripada bahagian seluruh negara, namun tiada satu pun secara khusus menyentuh soal meninggalkan Kerajaan Perpaduan atau membentuk pakatan dengan mana-mana parti lain.

Bagaimanapun, beliau menegaskan parti tidak pernah menyekat perwakilan atau jurucakap negeri serta sayap daripada menyuarakan pandangan mereka dalam perhimpunan tahunan itu.

Menurutnya, antara usul yang paling banyak diterima adalah berkaitan pengampunan ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dengan sebanyak 104 usul dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Najib ketika ini sedang menjalani hukuman penjara selepas disabitkan kesalahan rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International Sdn Bhd.

“Asas PAU adalah untuk mendengar suara akar umbi. Walaupun tiada usul rasmi menyentuh isu keluar kerajaan atau kerjasama dengan PAS, Umno tidak menghalang mana-mana perwakilan untuk membangkitkannya,” katanya pada sidang media khas menjelang PAU 2025 yang dijadual berlangsung dari 14 hingga 17 Januari ini.

Isu berkenaan sebelum ini kembali hangat selepas Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Akmal Saleh, secara terbuka menggesa parti itu menilai semula kedudukan dalam Kerajaan Perpaduan dan mempertimbangkan kerjasama dengan PAS pada konvensyen khas sayap berkenaan, 3 Januari lalu.

Namun, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan pendirian parti kekal bersama kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga tamat penggal.

Dalam pada itu, Asyraf turut memaklumkan hanya parti komponen Barisan Nasional (BN) dijemput menghadiri PAU kali ini, berbeza dengan PAU 2023 yang turut melibatkan rakan parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Menurutnya, keputusan itu dibuat bagi membolehkan perwakilan memberi pandangan secara lebih terbuka mengenai hala tuju dan masa depan parti, dengan MCA dan MIC telah mengesahkan kehadiran.

BBerkaitan

Latest articles